| Pembeli digesa benarkan SPNB 
    ambil alih projek24/09/2007 Berita Harian
 
 KUANTAN: Nasib 828 pembeli rumah Taman Perumahan Datuk Rashid Salleh, Jalan 
    Pintasan Kuantan Pelabuhan, di sini yang terbengkalai sejak 10 tahun lalu 
    dijangka selesai apabila Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sedia 
    mengambil alih projek berkenaan.
 
 Namun, berdasarkan syarat ditetapkan, SPNB memerlukan persetujuan 70 peratus 
    daripada 828 pembeli rumah di taman terbabit bagi memastikan kerja pembinaan 
    dapat dilaksanakan.
 
 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu, Pang Tsu Ming, berkata setakat 
    ini, hanya 47 peratus pembeli bersetuju supaya SPNB membina semula rumah 
    yang terbengkalai itu.
 
 Sehubungan itu, katanya, beliau bersama Adun Beserah, Datuk Faisal Abdullah 
    mahu pembeli rumah terbabit yang belum memberi persetujuan berbuat demikian 
    secepat mungkin.
 
 "Saya sebenarnya tidak nampak sebarang kerugian yang akan dihadapi pembeli 
    terbabit kerana mereka tidak dikenakan sebarang caj tambahan apabila projek 
    itu diambil alih SPNB.
 
 "Sebaliknya, pembeli masih bernasib baik kerana harga rumah yang dibeli 
    masih ditetapkan pada harga lama semasa mereka menandatangani perjanjian 
    jual beli 10 tahun lalu.
 
 "Rata-rata rumah yang dijual antara RM25,000 dan RM53,900 seunit yang 
    dianggap masih menguntungkan pembeli kerana ia tidak dinaikkan mengikut 
    harga semasa," katanya di pejabat MCA Kuantan, di sini, semalam.
 
 Ditanya projek pemulihan yang akan dilaksanakan SPNB, Pang berkata, 20 
    kontraktor sedia menjalankan projek terbabit melalui tender yang dikeluarkan 
    pada 11 September lalu.
 
 Katanya, SPNB perlu mendapat kebenaran daripada pemilik tanah dan syarikat 
    pemaju perumahan yang gagal menyiapkan projek itu terlebih dulu, sebelum 
    memulakan kerja pemulihan.
 
 "Saya yakin masalah pembeli yang sudah menunggu lebih 10 tahun untuk 
    mendapat rumah sendiri akan selesai tidak lama lagi," katanya.
 |