| 100 tuntut janji 24/09/2007 HM Oleh Ahmad Fitri Che Musa
 
 PUCHONG: Hampir 100 pembeli sekali lagi membuat bantahan kerana tidak tahan 
    dengan sikap degil pemaju yang masih gagal menyiapkan projek perumahan rumah 
    teres dua tingkat, De Elina, Amarylis, Artemisia dan Camelia di Taman 
    Lestari Puchong, Bandar Putra Permai, di sini, yang terbengkalai sejak dua 
    tahun lalu.
   Mereka berkumpul di tapak 
    perumahan itu bagi meluahkan perasaan kecewa dan tidak puas hati selain 
    menggesa pemaju dan pihak terbabit menyelesaikan masalah berkenaan berikutan 
    perkembangan projek itu tidak banyak berubah, walaupun mereka sudah membuat 
    bantahan sebelum ini. Wakil pembeli, Leong Kee Poh, 42, berkata pemaju memberikan pelbagai alasan 
    apabila ditanya mengenai projek perumahan terbengkalai itu menyebabkan 
    pihaknya tidak dapat bertolak-ansur dengan sikap pemaju.
 
 "Pemaju berjanji untuk memulakan kerja menyiapkan projek perumahan itu 
    semula pada Julai lalu selepas kami mendedahkan perkara ini kepada media, 
    bagaimanapun mereka tetap tidak menunaikan janji.
 
 "Kami sudah menghubungi pemaju beberapa kali sejak penghujung Julai lalu, 
    tetapi mereka memberitahu kerja pembinaan itu ditangguh bulan depan," 
    katanya.
 |