| 2 projek rumah terbengkalai14/08/2007 BH Oleh Amin Ridzuan Ishak
 
 Selangor mahu ambil alih siapkan kediaman untuk program penempatan semula 
    setinggan di Lembah Jaya, Hulu Klang
 
 AMPANG: Dalam usaha mencapai status negeri maju, kerajaan negeri Selangor 
    melancarkan program setinggan sifar bagi memastikan kehidupan rakyatnya 
    selesa setaraf dengan statusnya.
 
 Selain menyediakan kediaman selesa, program ini juga bagi mewujudkan kawasan 
    perbandaran yang tersusun. Namun program yang diharap dapat membentuk negeri 
    Selangor yang lebih baik mendapat bantahan daripada sesetengah penduduk.
 
 Ini dapat disaksikan melalui beberapa bantahan atau kekecohan yang berlaku 
    ketika operasi meroboh kediaman setinggan seperti yang terjadi di Kampung 
    Berembang, Ampang dan Kampung Rimba Jaya Seksyen 6, Shah Alam.
 
 Malah episod bantahan itu tidak habis di situ saja, malah sehingga ke 
    mahkamah.
 
 Bagi kawasan Ampang misalnya, bancian yang dilakukan mendapati kira-kira 
    5,000 penduduk masih mendiami kawasan setinggan dan usaha untuk mengurangkan 
    seterusnya membasmi masalah itu sedang rancak dijalankan.
 
 Bagaimanapun, dalam kerancakan kerajaan negeri mencapai sifar setinggan 
    menjelang hujung tahun ini, tindakan pemaju yang lewat dalam menyiapkan 
    kerja-kerja pembinaan menyebabkan usaha itu memindahkan penduduk bekas 
    setinggan tergendala.
 
 Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo ketika membuat 
    lawatan ke kawasan projek perumahan kos rendah bagi pemindahan setinggan di 
    sini baru-baru ini, jelas kecewa dengan perkembangan itu dan mengumumkan 
    kerajaan negeri akan mengambil alih projek berkenaan.
 
 Projek terbabit ialah Projek Perumahan Kos Rendah Kuari Golden Plus, Lembah 
    Jaya dan Projek Perumahan Kos Rendah Sungai Sering, Hulu Klang.
 
 “Kita tidak berpuas hati dengan perkembangan projek ini dan mengambil 
    keputusan untuk mengambil alih projek ini bagi mengelakkan ia tergendala 
    lagi. Jika kita tidak mengambil tindakan ini, pemaju juga yang rugi kerana 
    mereka yang harus membayar sewa rumah penduduk di penempatan sementara.
 
 “Dalam situasi ini, boleh dikatakan semua pihak akan mendapat keuntungan 
    yang mana penduduk terbabit akan mendapat rumah idaman mereka menjelang 
    hujung tahun ini dan pemaju pula tidak perlu menanggung beban hutang tinggi,” 
    katanya sewaktu mengadakan lawatan ke kedua-dua projek berkenaan.
 
 Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan 
    Setinggan Selangor, Datuk Mohd Mokhtar Ahmad Dahalan dan Ahli Dewan Undangan 
    Negeri (Adun) Lembah Jaya, Datuk Ismail Kijo.
 
 Antara kedua-dua projek itu, projek di Sungai Sering yang dijangka 
    menempatkan seramai 563 keluarga dari penempatan setinggan adalah yang 
    terjejas teruk.
 
 Projek yang sepatutnya siap tiga bulan lalu itu mengalami masalah apabila 
    pangsapuri 16 tingkat berkenaan dibina di kawasan cerun yang berisiko 
    berlakunya tanah runtuh dan banjir lumpur.
 
 Bagi projek di Lembah Jaya, rumah kos rendah yang menempatkan 1,185 keluarga 
    setinggan itu pula diambil alih kerajaan negeri selepas kegagalan kontraktor 
    menyiapkan satu blok rumah daripada empat yang terkandung dalam perjanjian.
 
 Ia sepatutnya siap Julai lalu tetapi disebabkan masalah kewangan yang 
    melanda pemaju menyebabkan ia tidak dapat disiapkan.
 
 Mengulas lanjut mengenai pengambilalihan projek berkenaan, Dr Mohamad Khir, 
    berkata projek bermasalah itu akan dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Negeri 
    Selangor (PKNS).
 
 FAKTA
 
 Projek Perumahan Kos Rendah Sungai Sering, Hulu Klang
 Pemindahan Setinggan
 
 Kampung Kemensah (22 keluarga), Kampung Fajar (63), Kampung Bukit Permai 
    (32), Kampung Sri Lembah Keramat (45), Kampung Batu Lapan (141), Kampung 
    Selamat Tambahan (17), Lorong Enggang Selatan (36), Kampung Pinggiran Sungai 
    AU3 (73), Kampung Pakat Setia, Lorong Enggang 23(65), Lorong Enggang 15(24), 
    Kampung Pinggiran Ukay (2), Bersebelahan Kampung Pasir (12), Belakang 
    Pejabat Penghulu (6), bersebelahan Lot 655 (7), Pintu masuk Klang Gate (4), 
    Lot 818 (35) dan Taman Permata (1).
 
 Projek Perumahan Kos Rendah Kuari Golden Plus, Lembah Jaya
 Pemindahan Setinggan
 
 Kampung Pinggir 1, Lembah Jaya Utara (220 keluarga), Bandar Baru Ampang (60) 
    Lot 1, bersebelahan Taman Dagang (63), Kampung Asean (43), Kampung Berembang 
    (bawah rezab TNB) (12), Lembah Jaya Selatan ( Jalan 10 ) (24) Kampung 
    Berembang (315)
 
 Kampung Muhibbah (12), Rumah Panjang, Taman Kosas (92), Kampung Kuala Ampang 
    (131), Jalan Kolam Air Lama (37), Taman MBF, Hulu Klang (10) dan Kampung 
    Fajar (15),
 |