| 19 pembeli saman pemaju, MDKS07/07/2007 Utusan Malaysia
 
 KLANG 6 Julai - Seramai 19 orang pembeli rumah di Taman Wawasan, Tanjong 
    Karang mengemukakan saman untuk menuntut ganti rugi di Mahkamah Sesyen di 
    sini hari ini berikutan rumah yang dibeli sejak enam tahun lalu gagal 
    diduduki.
 
 Tuntutan ke atas pemaju, Radiant Hart Construction Sdn. Bhd, Majlis Daerah 
    Kuala Selangor (MDKS) dan kerajaan negeri Selangor masing-masing sebagai 
    defendan pertama, kedua dan ketiga itu dibuat setelah unit rumah yang dibeli 
    ditarik balik sijil layak menduduki (CF).
 
 Penarikan CF itu dibuat ekoran kejadian tanah mendap serta menjejaskan 
    struktur kediaman jenis teres dua tingkat itu pada 17 April 2004.
 
 Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Taman Wawasan, Idah Hasan berkata, 
    pihaknya telah mengemukakan aduan kepada pihak berkenaan mengenai masalah 
    itu termasuk kerajaan negeri sebelum ini.
 
 Bagaimanapun katanya, tiada sebarang tindakan diambil daripada pemaju, 
    Radiant Hart Construction Sdn, Bhd., Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) 
    mahupun kerajaan negeri Selangor bagi menangani masalah itu.
 
 ‘‘ Kami membeli rumah ini dengan kos di antara RM30,000 dan RM150,000 pada 
    tahun 2001 dan sehingga ini kami tidak dapat tinggal di rumah berkenaan 
    walaupun banyak kali aduan telah dibuat.
 
 “Apa yang menyedihkan, kami terpaksa menanggung bebanan yang agak tinggi 
    selain kos seperti kecurian, kerosakan dan sebagainya.
 
 “Oleh itu, kami telah mengemukakan tuntutan saman dan ganti rugi kepada tiga 
    pihak berkenaan atas segala kerugian kerana gagal menyediakan rumah yang 
    sempurna serta kecuaian dalam membuat penilaian keselamatan rumah,” katanya 
    kepada pemberita di sini hari ini.
 
 Sebelum ini, masalah pembeli rumah di taman berkenaan telah mendapat 
    perhatian Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo pada Jun 
    2005.
 
 Mohamad Khir melalui kenyataannya dalam Utusan Malaysia pada 23 Jun 2005 
    telah mengeluarkan arahan kepada pemaju projek berkenaan supaya merobohkan 
    semula unit rumah itu dan melaksanakan pembinaan semula.
 
 Bagaimanapun, tiada sebarang tindakan dibuat oleh pemaju berhubung dengan 
    arahan tersebut.
 |