| Penantian 3 tahun berakhir 20/04/2007 Harian Metro Oleh 
    Kamarulzaman Pid   Pemaju setuju teruskan projek 
    perumahan Bandar Pinggiran Cyber   Cyberjaya: Hanya sebulan saja 
    lagi penderitaan selama hampir tiga tahun yang dialami 404 pembelli rumah di 
    Fasa 3D1, Bandar Pinggiran Cyber, di sini, akan berakhir.   Khabar gembira itu diterima 
    penduduk terbabit menerusi sepucuk surat daripada Kementerian Perumahan dan 
    Kerajaan Tempatan (KPKT), bertarikh 6 April selepas kementerian itu 
    mengadakan mesyuarat dengan pemaju projek berkenaan serta agensi berkaitan 
    pada 27 Mac lalu.   Pengerusi Jawatankuasa Bertindak 
    Bandar Pinggiran Cyber, Syed Kamaruddin Syed Samsuddin, berkata melalui 
    surat berkenaan, kementerian terbabit memaklumkan bahawa pemaju bersetuju 
    meneruskan projek itu yang akan dimulakan bulan depan dengan tender baru 
    dikeluarkan bulan ini.   "Dalam mesyuarat itu juga, pemaju 
    memaklumkan kepada kementerian bahawa projek itu dijangkan siap pada Julai 
    tahun depan.    "Ini adalah berita gembira yang 
    kami terima selepas hampir berputih mata apabila menyaksikan rumah yang kami 
    beli terbengkalai sejak beberapa tahun lalu," katanya kepada Harian Metro, 
    di sini, semalam.   Ketika ini, projek pembinaan 
    rumah teres berharga antara RM129,000 hingga RM214,000 itu yang sepatutnya 
    diserahkan kepada pembeli pada Oktober 2005, hanya disiapkan sekitar 25 
    hingga 40 peratus.   Berikutan itu, jawatankuasa 
    pendudu, terbabit mengemukakan aduan kepada kementerian yang kemudian 
    bertindak membantu mereka menyelesaikan masalah berkenaan.   Projek itu tertangguh disebabkan 
    beberapa masalah berkaitan jalan masuk ke projek perumahan itu, selain 
    masalah bekalan air untuk kegunaan penduduk.   Pengangguhan projek terbabit 
    menyebabkan sebahagian besar pembeli yang terdiri daripada kakitangan 
    kerajaan terpaksa menanggung beban membayar pinjaman bank selain bayaran 
    sewa rumah sekarang.   Syed Kamaruddin berkata, biarpun 
    itu adalah satu berita yang positif, mereka bimbang masalah itu akan 
    berulang di masa depan. |