| Sukar beli rumah lain29/01/2007 Harian Metro Oleh Manan Samad
 
 PUTRAJAYA: Seramai 404 pembeli projek rumah terbengkalai di Bandar Pinggiran 
    Cyber, Cyberjaya, dekat sini, makin dirundung malang apabila berada dalam 
    keadaan tersepit untuk memohon pinjaman bagi membeli rumah lain.
 
 Masalah itu berlaku berikutan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan 
    mentakrifkan status projek terbabit sebagai bermasalah, berbanding syarat 
    Bahagian Pinjaman Perumahan, Kementerian Kewangan dan pihak bank yang 
    berkehendakkan status projek terbengkalai dari kementerian itu, sebelum 
    meluluskan pinjaman.
 
 Kerenah birokrasi itu menyebabkan pembeli rumah terbabit yang majoritinya 
    kakitangan kerajaan berada dalam keadaan ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.
 
 Ini kerana, mereka bukan saja tidak dapat tinggal di rumah yang sepatutnya 
    siap tiga tahun lalu itu, malah hasrat untuk membeli rumah baru terbantut 
    berikutan takrifan status projek.
 
 Lebih pelik, sebuah lagi agensi kerajaan, Lembaga Perumahan dan Hartanah 
    Selangor (LPHS) mentakrifkan projek itu sebagai terbengkalai.
 
 Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bandar Pinggiran Cyber, Syed Kamaruddin 
    Syed Samsuddin, berkata pembeli rumah terbabit berharap kementerian itu 
    dapat menukar takrifan status projek berkenaan bagi memudahkan mereka 
    membuat pilihan.
 
 “Seorang pegawai di kementerian itu secara lisan memberitahu saya, tindakan 
    itu terpaksa dilakukan untuk menjaga reputasi pemaju supaya tidak menghadapi 
    masalah dengan bank.
 
 “Tetapi bagaimana dengan nasib kami sebagai pembeli? Kami kini betul-betul 
    berada dalam keadaan tersepit, rumah tak siap...nak buat pinjaman untuk beli 
    rumah lain pun tak boleh.
 
 “Kami hairan bagaimana kementerian itu menganggap projek terbabit bermasalah, 
    walhal LPHS yang bertanggungjawab mengawasi projek perumahan di Selangor 
    mentakrifkannya sebagai terbengkalai,” katanya ketika berkunjung ke pejabat 
    Harian Metro di sini, semalam.
 
 Mengenai perkembangan projek itu, Syed Kamaruddin berkata, masalah bekalan 
    air kini penghalang utama untuk projek terbabit disambung semula.
 
 Ini kerana, katanya, ada perbezaan pendapat di antara Syarikat Bekalan Air 
    Selangor (Syabas) cawangan Sepang, pemaju Cyberjaya dan pemaju projek itu.
 
 “Pemaju Cyberjaya mendakwa kapasiti bekalan air sudah penuh dan tidak dapat 
    disalurkan ke tapak projek terbabit, manakala Syabas Sepang mendakwa 
    sebaliknya.
 
 “Kami tidak pasti siapa yang betul, tetapi bagi kami, pihak terbabit perlu 
    mempercepatkan rundingan untuk mengatasi masalah itu. Kami dah tak larat 
    tanggung beban sejak tiga tahun lalu,” katanya.
 
 Sebelum ini, Harian Metro melaporkan 404 pembeli rumah di Fasa 3D1 Bandar 
    Pinggiran Cyber, kecewa kerana projek perumahan yang terbengkalai sejak tiga 
    tahun lalu, sehingga kini tiada tanda untuk dipulihkan.
 
 Berikutan itu, LPHS campur tangan untuk membantu menyelesaikan masalah 
    pembeli rumah terbabit, termasuk mengadakan rundingan dengan pemaju serta 
    agensi kerajaan berkaitan projek berkenaan.
 
 selain agensi berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Syabas, Tenaga 
    Nasional Berhad (TNB), Indah Water Konsortium (IWK) dan Majlis Perbandaran 
    Sepang (MPSp).
 |