| Pembeli mengeluh rumah tak siap 15/01/2007 Berita Harian Oleh Shukor Kasim
 Projek perumahan Taman Bidara 
    Palma di Masjid Tanah dibina sejak 2000 masih terbengkalai   
    
     MELAKA: Lebih 100 daripada 270 pembeli rumah Taman Bidara Palma, Tanjung Bidara, di Masjid Tanah kesal 
    berikutan projek perumahan rumah yang mereka beli sejak 2000 masih 
    terbengkalai. Walaupun pelbagai usaha dilakukan seperti menghantar 
    surat, mendaki anak tangga bertemu pegawai pejabat perumahan, selain mengadu 
    kepada wakil rakyat, masalah mereka terus berlarutan.
 Pemaju sudah dua kali beralih tangan, tetapi projek masih pada takuk lama 
    dengan banyak rumah tidak siap seperti tanpa bumbung, cermin, pintu, tingkap 
    dan sistem perparitan sempurna.
 
 Pemaju kedua yang mengambil-alih projek juga ibarat melepaskan batuk di 
    tangga dan lebih menyedihkan kini tinggal beberapa pekerja saja melakukan 
    kerja pembinaan.
 
    
     ROSAK: Keadaan siling 
    sebuah rumah yangmempunyai kesan bocor akibat terkena hujan
 Jika ada rumah yang sudah siap, banyak 
    pula bahan binaan sudah rosak seperti wayar elektrik yang dicuri, siling 
    rosak, jubin dan lantai simen pecah, selain persekitaran dipenuhi 
    semak-samun.
 Keadaan itu amat memeritkan, apatah lagi mereka yang membuat pinjaman bank 
    dan pemotongan bayaran balik yang tinggi.
 
 Setiausaha Jawatankuasa Bertindak, Mohd Yusoff Nasir, berkata pihaknya 
    kecewa kerana ia berlarutan sejak enam tahun lalu.
 
 Beliau berkata, projek perumahan itu membabitkan rumah kos rendah, rumah 
    berkembar dua tingkat dan banglo yang semuanya dibuka kepada pembeli 
    Bumiputera dengan kebanyakannya dibeli anggota tentera dan penduduk tempatan.
 
 Katanya, sebahagian besar fasa pertama membabit lebih 194 pintu sudah dihuni, 
    walaupun tidak mempunyai sijil menduduki (CF) daripada Majlis Perbandaran 
    Alor Gajah (MPAG).
 
 Bagaimanapun, katanya, sebahagian pembeli dibenarkan menduduki rumah 
    masing-masing walaupun tidak mempunyai CF.
 
 "Fasa kedua membabitkan 81 rumah kos rendah dan 80 peratus pembinaannya 
    sudah siap. Masalahnya, mengapa pemaju tidak menyiapkan sepenuhnya," katanya.
 
 Mohd Yusoff berkata, walaupun projek berkenaan bermasalah, pihaknya berharap 
    pemaju membenarkan 81 pembeli memasuki rumah seperti dalam fasa pertama.
 
 "Kami tidak kisah jika tiada CF kerana yang penting kami dapat duduk. Sampai 
    bila pembeli harus menanti dan terus menanti tanpa penghujungnya," katanya.
 
 Mohd Yusoff kecewa kerana pemaju yang mengambil alih projek langsung tidak 
    mahu mengadakan perundingan dengan pembeli.
 
 "Kami sedia bertemu untuk mendengar masalah mereka. Malangnya, tidak seorang 
    pun pegawai atasan pemaju tampil," katanya.
 
 Beliau berkata, ramai pembeli mengadu kepada peguam, tetapi pihak terbabit 
    berkata masalah berkenaan perlu diselesaikan dengan pemaju.
 
 Pesara tentera, Siti Nor Othman, 45, berkata beliau membeli sebuah banglo 
    berharga RM136,000 melalui potongan gaji RM750 sebulan dan pemaju berjanji 
    menyiapkannya selewat-lewatnya Jun 2006, tetapi janji hanya tinggal janji.
 
 "Lebih menyedihkan rumah saya terbengkalai dengan bahagian bumbung pun belum 
    dipasang. Sebilangan besar dinding sudah didirikan batu, tetapi ada tiang 
    yang dibina sengit," katanya.
 
 Rozaimi Zakaria, 36, berkata beliau membeli rumah di Lot 566 berharga 
    RM197,000 dan perjanjian menyatakan ia siap pada 2003.
 
 “Saya dapati pembinaannya tidak mengikut spesifikasi. Lantai juga tidak 
    berkualiti dengan nisbah pasir lebih banyak daripada simen hingga 
    menyebabkan struktur lantai mudah pecah dan retak.
 
 "Saya tak tahan dengan keadaan ini apa lagi kini menanggung tiga anak 
    termasuk seorang anak kurang upaya," katanya.
 |