| Pembeli desak pemaju segera 
    siapkan rumah terbengkalai24/10/2007 Utusan Malaysia Oleh Muhammad Rizanizam Abdul Hamid
 PUCHONG 23 Okt. – Hampir 200 pembeli 814 unit rumah dua tingkat di empat 
    projek perumahan Taman Lestari di sini menggesa pemaju menyiapkan rumah 
    mereka yang terbengkalai sejak tiga tahun lalu.
 
 Empat projek perumahan yang terbengkalai itu ialah Amaryllis yang 
    mengandungi 209 unit rumah teres dua tingkat, De-Elina (244), Artemisia 
    (156) dan Camelia (200).
 
 Mengikut perjanjian jual beli, projek Amaryl dan Artemisia dibeli pada 
    Disember 2003, De-Elina (April 2003) manakala Camelia pada Mei 2005.
 
 Namun sehingga kini ada di antara projek perumahan itu gagal disiapkan 
    langsung, dan selebihnya hanya berjaya disiapkan secara 
    berperingkat-peringkat antara 50 peratus dan 75 peratus.
 
 Dakwa pembeli, mereka telah beberapa kali cuba untuk mengadakan perbincangan 
    bersama pemaju, namun semuanya sia-sia dan pemaju memberikan alasan 
    kontraktor terpaksa ditukar.
 
 Seorang pembeli, Mohd. Syarriman Mohd. Staper, 28, berkata, isu tersebut 
    turut diketahui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tetapi 
    mereka hairan mengapa masih tiada sebarang tindakan dikenakan ke atas pemaju.
 
 “Apa yang KPKT bagi tahu, mereka akan buat pemantauan terhadap projek 
    perumahan ini tetapi sekarang sudah hampir setahun berlalu, masih tiada 
    apa-apa tindakan.
 
 “Saya amat berharap, KPKT memandang serius perkara ini dan membela nasib 
    pembeli sehingga ada yang terpaksa membelanjakan hampir lebih RM2,000 
    sebulan untuk membayar ansuran dan sewa rumah,’’ katanya kepada Utusan 
    Malaysia di sini baru-baru ini.
 
 Seorang lagi pembeli, Cannie Chong, 30, berkata, perjumpaan pernah dibuat 
    dengan pihak pemaju, Ahli Parlimen Puchong, Lau Yeng Peng dan Majlis 
    Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Jun lalu.
 
 Katanya, selepas perjumpaan itu, pemaju bersetuju menyambung semula 
    kerja-kerja pada awal Julai lalu.
 
 ‘‘Namun perkembangannya amat perlahan. Logik atau tidak, untuk sebuah projek 
    taman perumahan hanya empat atau lima orang sahaja bekerja sehari.
 
 ‘‘Kami bukan kanak-kanak. Mudah untuk ditipu,’’ katanya.
 
 Beliau yang membeli rumah De-Elina bernilai RM152,900 mendakwa pemaju turut 
    melengah-lengahkan pembayaran denda kerana gagal menyiapkan rumah tersebut.
 
 ‘‘Apabila dihubungi mereka kata bulan depan. Bulan depan hubungi balik 
    mereka kata bulan depan satu lagi,’’ katanya sambil menambah surat juga 
    telah dihantar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri 
    Ong Ka Ting.
 
 ‘‘Tetapi tiada jawapan,’’ ujarnya yang terpaksa membelanjakan sebanyak RM700 
    untuk membayar ansuran rumah tersebut.
 
 Sementara itu, seorang pembeli Hafidah Awalludin, 35, berkata, dia terpaksa 
    menggunakan seluruh gaji bulanannya untuk melangsaikan bayaran ansuran dan 
    sewaan dua buah rumah.
 
 “Bayangkan, sejak empat tahun lalu, saya terpaksa menanggung sewaan rumah 
    lain sebanyak RM600 sebulan dan pada masa yang sama saya perlu membayar 
    ansuran rumah yang terbengkalai ini sebanyak RM1,200.
 
 “Saya sangat kesal dengan sikap lepas tangan pemaju tanpa memikirkan nasib 
    pembeli yang menanggung pelbagai hutang lain,’’ katanya yang bekerja sebagai 
    Juru Bahasa Isyarat Persatuan Orang Pekak Malaysia.
 
 Tambahnya, dia amat berharap, pihak berkuasa dapat tampil bagi menyelesaikan 
    masalah tersebut secepat mungkin.
 
 Bagi Leong Kee Poh, 42, pula menyifatkan pemaju tidak serius untuk 
    menyelesaikan masalah perumahan tersebut.
 
 “Pemaju bersetuju untuk meneruskan kerja-kerja pembinaan secepat mungkin, 
    tapi semua itu sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’.
 
 “Selepas beberapa hari, kerja-kerja pembinaan terhenti semula, dan apabila 
    kami persoalkan, pemaju mengatakan ia terpaksa dihentikan kerana penukaran 
    kontraktor,’’ katanya.
 
 Seorang pembeli unit rumah Artemisia, Chai Ching Han, 29, pula berkata, 
    pemaju perlu menghentikan sikap berdolak-dalih dan memberikan pelbagai 
    alasan tidak munasabah kepada pembeli.
 
 “Sekarang ini keutamaan kami ialah kami mahukan rumah yang dijanjikan siap 
    mengikut perjanjian.
 
 “Tentang bayaran pampasan lewat daripada pemaju kepada kami itu mungkin soal 
    ke dua. Sekarang ini, kami perlukan rumah bagi mengurangkan perbelanjaan 
    bulanan untuk menyewa rumah lain,’’ tegasnya
 |