| 
     HBA syor kaedah baru beli 
    rumah  
    Berita Minggu 04/09/2005 
     
    KUALA LUMPUR: Persatuan Pembeli Rumah (HBA) menggesa kerajaan memansuhkan 
    konsep pembelian rumah beli dan siap seperti yang wujud sekarang dan 
    menggantikannya kepada konsep 10:90 iaitu pembeli membayar pendahuluan 10 
    peratus dan 90 peratus lagi selepas rumah siap. 
     
    Naib Presiden HBA, Brigadier General (B) Datuk Goh Seng Toh berkata, 
    kerajaan perlu meminda Akta Pemaju Perumahan 1972 yang lebih memihak kepada 
    pemaju daripada pembeli. 
     
    Katanya, kerajaan juga boleh menggubal akta baru bagi menetapkan hanya 
    konsep pembelian rumah 10:90 dan bina dan jual saja dibenarkan berbanding 
    jual dan bina yang diamalkan ketika ini. 
     
    "Ini penting kerana setiap tahun jumlah projek terbengkalai bertambah, 
    begitu juga mangsa iaitu pembeli rumah yang terpaksa membayar pinjaman 
    kepada bank. 
     
    "Menerusi konsep bina dan jual serta 10:90 ini, masalah rumah terbengkalai 
    tidak akan berlaku dan pembeli tidak lagi menanggung kerugian perniagaan 
    yang dialami pemaju perumahan dan bank," katanya dalam sidang akhbar khas 
    mengenai pertemuan HBA dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Isnin 
    lain, di sini, semalam. 
     
    Goh berkata, konsep 10:90 yang boleh digandingkan bersama konsep 'bina dan 
    jual', adalah bagi melindungi hak pembeli daripada ditindas. 
     
    Katanya, kebanyakan kes yang dirujuk kepada persatuan itu mendapati pembeli 
    kerugian dan menanggung beban hutang tanpa dapat menduduki rumah kerana 
    pemaju gulung tikar. 
     
    "Masalah gulung tikar atau pengurusan syarikat pemaju bertukar bukan masalah 
    pembeli,"  
    katanya. 
     
    Beliau menjelaskan konsep itu juga dijangka akan menyebabkan pemaju 
    perumahan meningkatkan kualiti kerja pembinaan rumah kerana apabila pembeli 
    membayar 10 peratus sudah ada perjanjian yang menyatakan jika pembeli tidak 
    puas hati bayaran 10 peratus perlu dipulangkan kembali. 
     
    Katanya, sekiranya pemaju gagal menyiapkan rumah mengikut syarat dalam 
    Perjanjian Jual Beli, pembeli mempunyai hak untuk membatalkan kontrak dan 
    mendapat balik wang pendahuluan berserta faedah jika ada. 
     
    "Saya percaya konsep 10:90 ini akan menyebabkan lebih ramai orang akan 
    membeli rumah seterusnya meningkatkan jumlah pelaburan hartanah dalam negara. 
     
    "Ketika ini, orang ramai ada yang takut membeli rumah kerana berisiko tinggi 
    akan terbengkalai. Lagipun, konsep ini menyebabkan pembeli terpaksa 
    mengeluarkan sejumlah wang secara ansuran walaupun rumah yang dibina belum 
    disiapkan," katanya. 
     
    Beliau juga menjelaskan konsep 10:90 ini tidak berisiko tinggi kerana ia 
    mengemukakan konsep pembangunan projek perumahan sebagai kerjasama yang 
    tidak boleh dipandang ringan. 
  |