| 
     HBA sifatkan bajet mesra 
    rakyat  
    11/09/2005 Berita Harian  
     
    PERSATUAN Pembeli Rumah (HBA) menyifatkan Bajet 2005 sebagai bajet mesra dan 
    prihatin rakyat khasnya kepada golongan berpendapatan rendah. 
     
    Setiausaha Agung persatuan itu, Chang Kim Loong, berkata Bajet 2005 yang 
    turut memperuntukkan sejumlah wang untuk pembangunan Projek Perumahan Rakyat 
    diharap dapat membasmi masalah setinggan dan mencapai matlamat bebas 
    setinggan menjelang 2005. 
     
    "Ini adalah bajet penyayang yang mana teras kerajaan ialah menjaga 
    kepentingan rakyat," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.  
     
    Pengerusi Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Roslan Awang 
    Chik, berkata walaupun peruntukan RM500 juta bagi projek penyelenggaraan 
    kepada kontraktor kelas F dianggap tidak mencukupi namun ini dilihat mampu 
    memberi nafas baru kepada golongan berkenaan kerana 99 peratus daripada 
    34,000 kontraktor kelas F adalah Bumiputera. 
     
    Beliau berkata, pihaknya menghargai usaha dan keprihatinan kerajaan dalam 
    memastikan kontraktor kelas F tidak terus terpinggir. 
     
    Bagaimanapun, katanya kerajaan perlu memantau peruntukan yang diagihkan 
    supaya manfaat itu tidak hanya dinikmati golongan tertentu saja.  
     
    Bekas Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), 
    Datuk Eddy Chen Lok Loi, berkata pemaju perumahan swasta perlu diberi 
    pengecualian cukai bagi pembinaan projek rumah kos rendah dan mampu dimiliki. 
     
    Beliau berkata, Rehda akan cuba membantu kerajaan untuk membasmi masalah 
    setinggan melalui pembinaan rumah kos rendah.  
     
    Di KOTA KINABALU, Yang Dipertua PKMM Cawangan Sabah, Awadnir Matanggal, 
    berkata langkah memberi peluang kepada Kontraktor Kelas F menyelenggara 
    bangunan kerajaan di luar bandar membuktikan kerajaan sentiasa memberi 
    perhatian kepada kontraktor kecil yang kebanyakannya terdiri daripada 
    peniaga kecil Bumiputera yang memerlukan bantuan. 
     
    Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM), Datuk Goh Chye Koon, 
    menyokong cadangan kerajaan untuk memberi pengecualian levi sepenuhnya 
    kepada syarikat pembinaan yang menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) 
    melebihi 50 peratus. 
     
    "Ini akan memastikan produktiviti lebih tinggi, mengurangkan kerja di tapak 
    dan memastikan tempoh pembinaan lebih pendek di samping mengekalkan kualiti 
    penyampaian serta mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing," katanya 
    dalam satu kenyataan akhbar. 
     
    Di ALOR STAR, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam 
    Sekitar Kedah, Datuk Bashah Md Hanipah, berkata peruntukan perumahan dalam 
    Bajet 2005 dapat membantu kerajaan negeri membina lebih banyak rumah kos 
    rendah, menjelang 2010. 
     
    Katanya, kerajaan negeri menganggarkan sebanyak 40 peratus daripada 200,000 
    unit rumah akan dibina khusus untuk rakyat miskin di seluruh negeri yang 
    kebanyakannya tinggal di kawasan setinggan seperti di pesisiran sungai. 
  |