| 
     Cadangan jual rumah siap 
     
    Harian Metro 04/09/2005 
     
    KUALA LUMPUR: Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA)) mencadangkan 
    kerajaan melaksanakan sistem 'Bina dan Jual 10:90' bagi mengatasi masalah 
    pembeli ditipu pemaju hingga menyebabkan projek perumahan terbengkalai. 
     
    Timbalan Presiden HBA Brg Jen (B) Datuk Goh Seong Toh, berkata melalui 
    sistem itu, pemaju tidak boleh menggunakan wang tempahan 10 peratus daripada 
    harga rumah yang dibayar pembeli ketika projek dilancarkan, sebaliknya 
    disimpan peguam menerusi satu akaun khas apabila menandatangani perjanjian 
    jual-beli rumah. 
     
    Katanya, pemaju hanya boleh mengambil wang tempahan itu berserta faedah 
    terkumpul dan baki harga rumah yang perlu dijelaskan apabila projek 
    perumahan siap dibina untuk diserahkan kepada pembeli. 
     
    "HBA merayu kerajaan supaya menukar konsep pembelian dan penjualan rumah 
    sedia ada kerana konsep itu menyusahkan ramai pembeli rumah yang terpaksa 
    berdepan kerenah dan ditipu pemaju projek perumahan selepas mendapatkan wang," 
    katanya pada persidangan akhbar di pejabat HBA di sini semalam. 
     
    Goh berkata, ramai pembeli rumah kini menanggung beban kewangan dan 
    menghadapi tekanan psikologi kerana pembinaan rumah yang dibeli terbengkalai. 
     
    Penasihat HBA, Datuk Seri Yuen Yuet Leng, yang turut hadir pada sidang 
    akhbar itu, berkata konsep baru dicadangkan persatuan itu menyamai konsep 
    membeli kereta bagi mengurangkan masalah yang dihadapi pembeli. 
     
    Katanya, masalah projek perumahan terbengkalai yang mencecah kerugian lebih 
    RM7 billion sepanjang tahun lalu boleh melumpuhkan ekonomi negara apabila 
    pembeli takut kemungkinan berdepan masalah ditipu pemaju dan rumah tidak 
    siap. 
     
    Seorang lagi penasihat HBA, Ernest Cheong, berkata Kementerian Perumahan dan 
    Kerajaan Tempatan hendaklah lebih prihatin terhadap masalah pembeli rumah. 
     
    Beliau mencadangkan pembeli yang berdepan masalah projek rumah terbengkalai 
    berjumpa wakil rakyat mereka mengenai masalah dihadapi supaya perkara itu 
    dapat dibawa ke tengah. - Bernama   |