Kaji semula 
      CCC ganti CF 
      18/06/2005 Kosmo 
      
      KUALA LUMPUR - Harapkan pagar, pagar makan padi. Demikian perumpamaan daripada 
      Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) mengenai kewibawaan segelintir arkitek 
      perumahan.
      Keadaan ini wujud disebabkan cadangan kerajaan menukarkan Sijil Layak Menduduki 
      (CF) kepada Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) dalam Rancangan Malaysia Kesembilan 
      (RMK-9) yang dianggap oleh HBA sebagai tidak berwibawa. 
      Setiausaha Agungnya, Chang Kim Loong berkata, keraguan kepada kewibawaan 
      arkitek berlaku disebabkan kebanyakan statistik aduan permasalahan yang diterima 
      disebabkan sijil pramatang yang dikeluarkan oleh arkitek sering disalahgunakan 
      pemaju. 
      "Kami ada bukti. Fakta menunjukkan pemaju sanggup mengarahkan arkitek yang 
      dilantiknya untuk mengeluarkan sijil pramatang projek perumahan untuk menuntut 
      bayaran akhir daripada pembeli. 
      "Bagaimanapun apabila rumah diserahkan kepada pembeli, keadaan rumah yang 
      diterima sangat mengecewakan dengan keadaan struktur belum siap dan tidak 
      lengkap," katanya kepada KOSMO!. 
      Beliau mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk 
      Seri Ong Ka Ting bahawa CF akan digantikan kepada CCC dengan dikeluarkan oleh 
      arkitek dan jurutera saja, bukan oleh pihak berkuasa tempatan sebelum ini.
      
      Menurut Kim Loong, HBA setiap tahun menerima ratusan aduan berkaitan sijil 
      pra-matang sama ada ia palsu atau tidak jelas penilaian arkitek yang meluluskannya 
      untuk mengelirukan pembeli. 
      Sehubungan itu, katanya, HBA mencadangkan kepada kerajaan agar mengkaji 
      semula cadangan mewujudkan CCC. 
      "Berdasarkan kes terbaru HBA, terdapat enam aduan yang dikemukakan oleh 
      pihak persatuan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ke atas 
      sijil pra-matang yang diluluskan oleh arkitek pemaju perumahan. 
      "Akhirnya enam aduan tersebut disiasat dan diambil tindakan oleh Lembaga 
      Arkitek Malaysia," katanya.