| 
     Tubuhkan jawatankuasa pembeli
     
    21/11/2005
    Kosmo  
     
    KUALA LUMPUR - Sebuah jawatankuasa pembeli perlu ditubuhkan segera untuk 
    menyediakan aduan lengkap kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan 
    mengenai masalah projek perumahan dan komersial Super Taipan di Bukit 
    Beruntung yang terbengkalai sejak ia mula dibina lapan tahun lalu.  
     
    Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Azizah Mohd. Dun, satu perbincangan di 
    antara pihak pemaju dan pembeli-pembeli unit di kawasan itu akan diadakan 
    bagi mencari penyelesaian. 
     
    "Mengikut Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan Dan Perlesenan) 1966, semua 
    projek perumahan perlu disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan. 
     
    "Jika gagal, deposit yang telah dibayar oleh pembeli perlu dipulangkan 
    semula," katanya ketika dihubungi KOSMO! kelmarin. 
     
    Katanya, pembeli kini tidak perlu risau kerana dia itu mampu melindungi 
    pembeli kerana beliau yakin pihak pemaju mampu menyiapkan rumah seperti yang 
    telah dijanjikan. 
     
    "Laporan-laporan projek terbengkalai yang masih wujud kini sebenarnya adalah 
    projek yang diusahakan sebelum tahun 2002, iaitu sebelum Akta Perumahan 
    diketatkan," katanya. 
     
    Menurut beliau antara pindaan yang dibuat ialah dengan memperketatkan 
    pemberian lesen kepada pihak pemaju, memeriksa terlebih dahulu kedudukan 
    kewangan syarikat pemaju dan memantau projek perumahan yang dibangunkan 
    dengan memastikan pemaju menyerahkan laporan perkembangan projek perumahan 
    yang dibangunkan setiap enam bulan. 
     
    Sementara itu, KOSMO! turut mendapatkan penjelasan berhubung masalah 
    terseuut daripada Setiausaha Agung Persatuan Pembeli-Pembeli Rumah 
    Kebangsaan (HBA), Chang Kim Loong. 
     
    "Kami akan membantu dari segi khidmat nasihat secara percuma kepada para 
    pembeli unit di Super Taipan itu supaya hak mereka terbela," katanya.   |