| Serosa lantik perunding bebas pulih 
			rumah terbengkalai 
			 02/09/2004 UTUSAN 
            MALAYSIA
			 KUALA LUMPUR 1 Sept– Syarikat kontraktor baru dilantik
			dengan kebenaran Jabatan Insolvensi Malaysia bagi proses
			pemulihan semula rumah-rumah terbengkalai di Taman Serosa,
			Kajang tidak lama lagi. Pengerusi Serosa Resources Sdn. Bhd. Abdullah Sani berkata,
			pihaknya telah melantik perunding bebas bagi tujuan itu dan
			yakin projek pemulihan akan bermula dalam masa terdekat. 
			"Bank ada hak untuk lelong tetapi menerusi perbincangan mereka
			(bank) bersetuju memberi tempoh jika ada pemaju lain
			memulihkannya dan kini hanya menunggu kebenaran Jabatan
			Insolvensi Malaysia sahaja. "Jika sudah dapat kebenaran nanti ia ,boleh dijalankan dalam
			masa seminggu dua ini. "Kami berusaha sedaya upaya untuk memenuhi janji-janji kepada
			pembeli," ujarnya ketika menghubungi Utusan Malaysia di sini hari 
			ini. Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan sebahagian
			pembeli rumah terbengkalai di Taman Serosa semalam yang
			mendakwa mereka terpaksa menanggung beban termasuk
			bayaran bulanan kepada bank akibat projek terbengkalai itu.
			 Abdullah juga memberitahu, kontraktor baru kelak akan memulihkan
			projek berkenaan menggunakan lesen dan permit sama ada milik
			Serosa Resources sebagai pemaju. "Sekiranya ia bermula dalam
			masa terdekat kami yakin ia berjaya diselesaikan dalam masa
			setahun setengah daripada sekarang," jelasnya.
			 Pada masa yang sama, beliau berjanji kepada para pembeli yang
			harga tambahan tidak akan dikenakan dan ia tetap sama seperti
			apa yang tercatat dalam surat perjanjian jual beli.
			 Dalam perkembangan berkaitan, menurutnya, bilangan rumah yang
			di jual dalam projek itu hanya sebanyak 41 unit sahaja dan bukan
			kira-kira 600 seperti didakwa.
     |