| Rumah terbiar 'lubuk jenayah'
      04/09/2004Berita Harian
 SEREMBAN: Projek perumahan terbengkalai sejak hampir 20 tahun membimbangkan 
    penduduk Taman Marida Senawang, dekat sini, kerana bangunan perumahan itu 
    semakin dilitupi belukar dan pokok besar yang boleh mengundang bahaya, 
    termasuk jenayah.
 Tinjauan Berita Harian mendapati kira-kira 30 unit rumah yang terbengkalai 
    di taman berkenaan dipenuhi semak samun dan belukar.
 Kedudukan projek perumahan itu pula berhampiran dengan Sekolah Rendah 
    Kebangsaan Senawang, masjid dan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan 
    Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan taman perumahan.
 Jalan bersebelahan projek terbengkalai itu menjadi laluan murid setiap hari 
    seawal jam 6.30 pagi atau ketika balik dari sekolah.
 Difahamkan rumah terbengkalai itu turut menjadi sarang penagih dadah 
    terutama ketika penduduk taman itu keluar bekerja.
 Ahli Jawatankuasa Persatuan Kebajikan Penduduk Islam (Permai) taman itu, 
    Zulkifli Ejam, 42, berkata masalah projek perumahan terbengkalai itu 
    meresahkan penduduk selain mengancam keselamatan terutama murid.
 Beliau berkata, pelbagai kejadian jenayah boleh berlaku di kawasan sepi itu 
    seperti ragut atau rogol seperti yang sering terjadi di beberapa kawasan 
    lain.
 "Malahan sebelum ini pernah dilaporkan seorang murid perempuan tahun enam 
    nyaris dirogol oleh seorang lelaki tetapi terselamat selepas terserempak 
    dengan individu lain yang kebetulan melalui kawasan itu.
 "Masalah projek perumahan terbabit sudah dibangkitkan penduduk banyak kali 
    pada mesyuarat jawatankuasa Permai dan dibawa ke pengetahuan kerajaan negeri.
 "Bagaimanapun, sehingga kini tiada tindakan drastik dilakukan pihak terbabit 
    untuk membersihkan kawasan itu," katanya kepada Berita Harian.
 Zulkifli berkata, pihaknya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat 
    mengambil tindakan segera meruntuhkan bangunan rumah itu atau membaik pulih 
    selaras dengan saranan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya 
    tempat yang boleh menyumbang kepada berlakunya kejadian jenayah dibersihkan.
 "Sebelum terjadi perkara yang tidak diingini, wajarlah tempat ini 
    dibersihkan demi keselamatan dan keselesaan penduduk," katanya.
 |