| RM4b pulih rumah terbengkalai 01/09/2004
      Berita Harian
 
 PUTRAJAYA: Kerajaan membelanjakan RM4 bilion bagi memulihkan projek 
      perumahan terbengkalai membabitkan 53,000 unit rumah kos rendah dan 
      sederhana di seluruh negara sejak 1990.
 Malah, 
      tahun ini peruntukan tambahan bernilai RM1 bilion akan disalurkan kepada 
      Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi membangunkan semula 
      sekurang-kurangnya dua projek perumahan terbengkalai di Wilayah 
      Persekutuan Labuan dan Selangor. Pengerusi Eksekutif SPNB, Datuk Tengku Adnan Tengku 
      Mansor, berkata kerajaan terpaksa menyediakan peruntukan besar bagi 
      memulihkan projek perumahan terbengkalai di seluruh negara kerana mahu 
      rakyat menikmati kemudahan itu. "Apa yang kerajaan lakukan ialah memastikan rumah 
      terbengkalai yang dibeli rakyat `dipulangkan' semula kepada mereka selepas 
      projek terbabit dipulihkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas 
      melawat tarikan baru pusat pentadbiran negara, Kompleks Beli-Belah 
      Alamanda di sini, semalam. Isu projek perumahan terbengkalai dihadapi rakyat sejak 
      lama dahulu, hangat diperdebatkan dengan pelbagai pihak terutama pembeli 
      mahu kerajaan mengambil tindakan terhadap pemaju yang gagal menyiapkan 
      projek perumahan mengikut tempoh dijanjikan. Isu itu mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri 
      Abdullah Ahmad Badawi yang baru-baru ini dilaporkan berkata, Kabinet 
      menunggu Kementerian
      Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengemukakan laporan lengkap mengenai 
      masalah projek perumahan terbengkalai serta kaedah menanganinya. Bagi melindungi pembeli rumah dan hartanah sekali gus 
      menangani masalah projek terbengkalai, Agensi Penarafan Malaysia (RAM) 
      dilaporkan turut mencadangkan supaya sistem yang dikenali sebagai Formula 
      10:90 iaitu pembeli menjelaskan 10 peratus bayaran manakala selebihnya 
      selepas rumah
      atau hartanah diserahkan, dilaksanakan. Tengku Adnan berkata, SPNB akan menawarkan tender 
      memulihkan dua lagi projek perumahan kos rendah dan sederhana di Labuan 
      dan Desa Ria, Taman
      Medan, Petaling Jaya membabitkan hampir 2,000 unit rumah. "Dua projek ini yang dianggarkan membabitkan kos RM70 
      juta sudah dikenal pasti untuk dipulihkan sekarang, manakala projek lain 
      masih diperincikan," katanya sambil menambah syarikat mempunyai banyak 
      projek perumahan terbengkalai yang sedang menunggu untuk dipulihkan. Beliau berkata, SPNB memastikan setiap projek perumahan 
      terbengkalai yang dipilih untuk dipulihkan, dilaksanakan dengan baik 
      melalui pemantauan ketat. Tengku Adnan berkata, syarikat memiliki senarai 400 
      kontraktor berwibawa yang masing-masing mempunyai rekod baik. Beliau berkata, SPNB ditubuhkan dengan empat matlamat 
      asas termasuk membina seberapa banyak rumah mampu milik merangkumi kos 
      rendah dan sederhana serta melaksanakan projek skim Rumah Mesra Rakyat (RMR) 
      danRumah Harapan.
 "Bagi projek skim RMR, syarikat sedang mengemukakan 
      permohonan mendapatkan geran sebanyak RM100 juta dari kerajaan sebagai 
      tambahan kepada 2,500 unit rumah yang dibina pada fasa pertama," katanya. Sementara itu, Tengku Adnan berkata, Kementerian 
      Perumahan dan Kerajaan
      Tempatan perlu mengkaji semula semua aspek termasuk perundangan bagi 
      memastikan projek perumahan rakyat tidak terbengkalai. "Pendekatan lebih menyeluruh diperlukan di mana 
      kementerian perlu memastikan pemaju perumahan memiliki kredibiliti untuk 
      menyiapkan projek seperti yang dihebahkan. "Ini kerana ada antara pemaju perumahan tidak mempunyai 
      kepakaran sebaliknya hanya mahu mengaut untung dan akhirnya pembeli yang 
      rugi," katanya yang turut menyokong cadangan RAM berhubung sistem 
      menjelaskan 10 peratus pendahuluan sebelum bayaran penuh diselesaikan 
      apabila rumah siap, dilaksanakan.  |