| 36 
		projek rumah terbengkalai Berita Harian 21/09/2004
 
 KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor mengenal pasti sebanyak 36 projek
			perumahan bernilai RM1.87 bilion masih terbengkalai di negeri ini 
			bagi
			tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
 Antara kawasan projek perumahan terbengkalai itu ialah di Ampang,
			Tanjung Karang, Klang, Bandar Baru Salak Tinggi, Semenyih, Balakong,
			Serdang, Hulu Selangor serta Sungai Besar. Pengerusi Jawatankuasa Tetap, Perumahan, Pengurusan Bangunan dan
			Setinggan negeri, Datuk Mohd Mokhtar Ahmad Dahalan, berkata jumlah 
			unit
			projek perumahan terbengkalai itu ialah 22,055 unit membabitkan 
			seramai
			13,540 pembeli. "Walaupun jumlah projek terbengkalai pada tahun ini berkurangan
			berbanding 56 projek pada 2003 dan 86 projek pada 2002, kerajaan 
			tetap
			menganggap ia satu perkara yang perlu ditangani segera. "Masalah seperti ini membabitkan rakyat yang amat memerlukan 
			kediaman
			sendiri, tetapi apa diharapkan tidak mendatangkan pulangan setimpal
			daripada apa yang sudah dilaburkan sebelum itu. "Apabila projek perumahan tidak siap, bermakna pembeli terpaksa 
			berdepan
			pelbagai kesulitan seperti pembayaran ansuran bulanan kepada 
			institusi
			kewangan dan pada masa sama terpaksa pula membayar sewa rumah sedia 
			ada,
			selain berdepan dengan kadar bunga ditetapkan. "Apabila perkara sedemikian berlaku, pemaju perumahan akan lepas 
			tangan
			dan kerajaan pula terpaksa menanggung bebanan itu kerana rakyat mula
			menuding jari untuk mencari penyelesaian segera," katanya kepada 
			Berita
			Harian di pejabatnya di Shah Alam, baru-baru ini. Sebagai jalan terbaik, Mokhtar berkata, kerajaan negeri bermuafakat
			dengan Syarikat Perumahan Negara (SPN) bagi menyelesaikan projek 
			perumahan
			terbengkalai.  "Setakat ini, lapan projek rumah yang terbengkalai itu sudah diambil
			alih oleh SPN dan tiga lagi projek berkenaan pada peringkat 
			rundingan
			akhir bagi tujuan sama. "Kita (kerajaan Selangor) berharap menerusi SPN, projek perumahan
			terbengkalai itu dapat diteruskan bagi membolehkan pembeli sedia ada
			memperoleh rumah idaman masing-masing dalam tempoh segera," katanya. Ditanya faktor menyebabkan projek perumahan terbengkalai di 
			Selangor,
			kata Mohd Mokhtar, ada empat sebab utama iaitu pertama, syarikat 
			pemaju
			yang hendak membangunkan projek perumahan tidak mempunyai modal 
			cukup.` "Kedua, pengurusan kewangan lemah; ketiga, tidak cukup berpengalaman 
			dan
			keempat pula ialah tiada daya ketahanan dalam sesebuah syarikat itu
			terutama apabila berlaku kegawatan ekonomi," katanya.
		 |