| 
            SPNB ambil alih empat fasa rumah 
			terbengkalai di Lembah Beringin 
			 24/08/2004 Utusan 
            Malaysia  KUALA LUMPUR 23 Ogos - Syarikat Perumahan Negara 
			Berhad (SPNB) akan mengambil alih empat fasa projek perumahan 
			terbengkalai di Lembah Beringin, kira-kira 70 kilometer dari sini 
			yang gagal disiapkan oleh pemaju, Lembah Beringin Sdn. Bhd. (LBSB). Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang 
			terpaksa campur tangan menangani kegagalan pemaju berkenaan, 
			mengarahkan SPNB berbuat demikian. Ketua Pegawai Operasi LBSB, Muhd. Najib Mohd. Rawi 
			berkata, krisis kewangan pada 1997 menyebabkan empat fasa 
			pembangunan rumah yang dibangunkan anak syarikat Land & General itu 
			terjejas teruk. Ekoran itu, katanya, beberapa usaha telah 
			dilakukan untuk memulihkan projek tersebut tetapi menemui jalan 
			buntu. "LBSB juga telah mengadakan beberapa perjumpaan 
			dengan Ahli Jawatankuasa Pembeli Rumah dan Kementerian Perumahan dan 
			Kerajaan Tempatan untuk mencari jalan penyelesaian. "Untuk kepentingan awam, kementerian akhirnya 
			telah mengarahkan SPNB untuk memulihkan projek itu," katanya dalam 
			kenyataan di sini hari ini. Utusan Malaysia hari ini menyiarkan surat pembaca 
			yang menggelarkan dirinya, 'Penanti 7 Tahun, Selangor' masih 
			menunggu rumahnya di Lembah Beringin yang dibeli pada 1997, 
			disiapkan. Malahan penulis sehingga kini tidak mengetahui lot 
			sebenar rumah yang dibelinya itu. Menurut Muhd. Najib, SPNB secara dasarnya telah 
			bersetuju untuk mengambil alih projek berkenaan dan akan mengadakan 
			perjumpaan dengan pembeli-pembeli rumah terbabit pada hujung bulan 
			ini. Kurangkan beban "Skim pemulihan tersebut akan menyiapkan semua 
			rumah terbengkalai dengan tidak mengenakan sebarang kos tambahan," 
			katanya. Beliau juga berkata, pembeli hanya perlu membuat 
			pembayaran setelah rumah berkenaan siap sepenuhnya. Ini bermakna bayaran yang sepatutnya perlu dibayar 
			bagi setiap peringkat akan dikecualikan bagi mengurangkan beban 
			pembeli yang telah lama menunggu, katanya. Pada masa yang sama, beliau menjelaskan bahawa 
			LBSB tidak pernah menawarkan pembeli rumah di Lembah Beringin 
			menukar unit rumah mereka dengan hartanah di projek perumahan lain 
			yang dimajukan oleh syarikat itu. Penulis dalam suratnya mendakwa, LBSB berjanji 
			akan menggantikan rumah berharga RM116,000 yang dibelinya dengan 
			sebuah kondominium berharga RM260,000 di Bandar Sri Damansara. "Bagaimanapun, kita ada menawarkan pembeli-pembeli 
			yang terjejas itu dengan rumah atau banglo yang telah siap di Lembah 
			Beringin," katanya. Sehingga kini, jelasnya, sebanyak 60 pembeli rumah 
			telah bersetuju menerima tawaran tersebut. "Kami percaya pemulihan yang akan dilakukan oleh 
			SPNB akan memberikan faedah kepada semua pihak," katanya. Sementara itu, Pengurus Besar Kewangan Kumpulan 
			SPNB, Ahmad Tarmizi Mohamed Hariri mengesahkan kepada Utusan 
			Malaysia hari ini, memang terdapat empat fasa projek perumahan 
			terbengkalai berjumlah 657 unit berharga di bawah RM200,000 yang 
			akan disiapkan pembinaannya oleh agensi pelaksana berkenaan. Katanya, fasa projek rumah terbengkalai di Lembah 
			Beringin yang akan disiapkan pembinaan oleh SPNB itu adalah terdiri 
			daripada rumah jenis Iris (167 unit), Jasmine (217 unit), Heart (197 
			unit) dan Flora (76 unit). Beliau bagaimanapun berkata, penulis surat pembaca 
			itu tidak menjelaskan dengan tepat rasa projek rumah yang dibelinya 
			dan tidak dapat dipastikan sama ada rumah beliannya termasuk di 
			dalam projek yang akan disiapkan oleh SPNB tersebut. Perjumpaan Beliau berkata, SPNB dijangka mengadakan 
			perjumpaan dengan kesemua pembeli 657 unit rumah terbengkalai itu 
			untuk disiapkan oleh SPNB itu di Lembah Beringin pada penghujung 
			minggu ini. Ahmad Tarmizi berkata, hingga kini Kementerian 
			Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menyerahkan 173 senarai projek 
			perumahan terbengkalai untuk disiapkan pembinaannya oleh SPNB di 
			seluruh negara.
			 |