| Minta FOMCA, Suhakam bela rumah 14 
      tahun terbengkalai 25/08/2004 Utusan Malaysia
 
 Saudara Pengarang,
 Apabila terbaca kes Norhiza Jaafar yang menyaksikan rumah impiannya di 
      Lembah Beringin terbengkalai lebih tujuh tahun ,ia lantas mengingatkan 
      saya kepada projek perumahan saya. Saya membeli 
      rumah tepi dengan pemaju Tegoh Timber and Properties Sdn.Bhd ,yang alamat 
      pejabatnya di 41B,Jalan SG1/6 ,Taman Sri Gombak ,Batu Caves,Selangor. Harga rumah dua tingkat kos sederhana rendah ketika itu 
      ialah RM55,260 dengan harga lebihan tanah ,RM10,260. Saya telah menandatangani perjanjian jual beli hartanah 
      dengan pemaju di bawah projek Taman Bayu ,Lot 61 Kenanga dengan membuat 
      bayaran 10 peratus di atas harga rumah tersebut iaitu RM5,526 melalui 
      resit nombor 918. Peguamcara dan peguambela bagi projek perumahan ini 
      ialah Asordin Ramli @ Co. Saya masih terbayang-bayang betapa berebut-rebut orang 
      datang ke pejabat pemaju itu untuk membuat tempahan. Kebanyakannya kakitangan kerajaan .Ada yang membawa 
      anak-anak mereka yang masih kecil ke pejabat tersebut. Itu kisah 
      dulu.Tetapi sekarang,nasib saya serupa dengan takdir Norhiza. Rumah impian yang saya beli berdekatan dengan pusat 
      pelancongan Mimaland itu juga terbengkalai sehingga sekarang. Bezanya dengan Norhiza,projek rumah saya terbengkalai 14 
      tahun sejak 1990. Meminjam kata Tun Dr Mahathir Mohamad:"Dah lama dah". Saya pun dah terlupa langsung bahawa satu ketika dulu 
      saya memang mempunyai impian untuk memiliki sebuah rumah dekat Mimaland 
      sehinggalah kes Norhiza tersiar di akhbar Utusan Malaysia.
 Penantian
 
 Bayangkan betapa lamanya penantian saya: Mimaland yang dikunjungi ramai 
      ketika itu,sudah tidak wujud lagi.
 Kampus induk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia 
      daripada belum wujud, sudah berdiri megah di Gombak. Taman bayu dengan slogannya "Kehidupan Tenteram Dan 
      Segar Di Kelilingi Kehijauan" entah di mana letaknya sekarang. Saya juga tidak pasti ,pemaju Tegoh Timber masih hidup 
      lagi atau sudah bungkus.Atau sudah buat syarikat perumahan yang baru dan buat projek perumahan 
      lain yang mungkin terbengkalai lagi.
 Saya pun tidak pasti sama ada projek perumahan ini yang 
      khabarnya di bawah Program Khas Perumahan Kerajaan Selangor ada usaha 
      untuk dipulihkan atau dibiarkan oleh kerajaan sebagai "sejarah hitam" buat 
      pembeli rumah berkenaan. Saya minta pihak kerajaan termasuk Suhakam yang 
      memperjuangkan hak asasi manusia melihat perkara ini. Menteri Perumahan dan kerajaan Tempatan ,Datuk Seri Ong 
      Ka Ting juga perlu lakukan sesuatu.Selamat dan pulihkan semua rumah terbengkalai termasuk yang berbelas-belas tahun 
      seperti Taman Bayu ini. Sayang, kalau kita mempunyai persatuan pengguna yang kuat,berpengaruh dan 
      berkuasa seperti di negara-negara maju, mungkin nasib saya dan 
      mangsa-mangsa rumah terbengkalai lain sudah terbela.  Di mana kau FOMCA? Penunggu 14 tahun, Kuala Lumpur |