| 
            
            Kembalikan wang atau hadapi 
			tindakan undang-undang 
            25/08/2004 Utusan Malaysia  KUALA LUMPUR 24 Ogos - Pembeli rumah terbengkalai 
			di Lembah Beringin, Norhiza Jaffar, 38, memberi kata dua kepada 
			Lembah Beringin Sdn. Bhd., (LBSB) iaitu mengembalikan wangnya atau 
			beliau akan mengembalikan wangnya atau beliau akan mengambil 
			tindakan undang-undang terhadap anak syarikat Land & General itu. Tegasnya, walaupun Syarikat Perumahan Negara 
			Berhad (SPNB) akan mengambil alih projek tersebut, itu tidak 
			bermakna perkara berkenaan dianggap selesai dan beliau perlu 
			menunggu lagi untuk mendapatkan rumahnya. Norhiza berkata, beliau dan keluargnya sendiri 
			sudah tidak mahu menaruh apa-apa harapan lagi untuk memiliki rumah 
			tersebut. "Setelah tujuh tahun pemaju membiarkan saya dan 
			pembeli-pembeli lain tertanya-tanya dengan perkembangan rumah itu di 
			samping terpaksa menanggung banyak kerugian, kini kita baru 
			diberitahu bahawa projek itu akan dipulihkan oleh SPNB. "LBSB tidak merasa peritnya kesusahan kami selama 
			ini sedangkan mereka seolah cuci tangan apabila ia diserahkan kepada 
			SPNB," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini. LBSB dalam kenyataannya semalam menjelaskan SPNB 
			akan mengambil alih empat fasa projek perumahan terbengkalai di 
			Lembah Beringin yang gagal disiapkan oleh syarikat itu. Ketua Pegawai Operasi LBSB, Mohd. Najib Mohd. Rawi 
			berkata, krisis kewangan pada 1997 menyebabkan empat fasa 
			pembangunan rumah tersebut terjejas teruk. Mengulas perkembangan itu, Nurhiza hairan mengapa 
			syarikat induknya, Land & General tidak memulihkan sendiri projek 
			tersebut. "Sedangkan Land & General difahamkan mempunyai 
			kedudukan kewangan yang kukuh dengan mempunyai banyak projek yang 
			berjaya," ujarnya. Norhiza menjelaskan, dulu beliau sendiri memilih 
			untuk membeli rumah di kawasan yang terletak 70 kilometer dari Kuala 
			Lumpur itu kerana terpengaruh dengan nama Land & General yang 
			dianggap begitu besar dan berwibawa dalam membangunkan projek 
			perumahan. "Ini yang saya tidak faham. Mengapa perlu SPNB 
			yang ambil-alih," katanya. Bagaimanapun, katanya, beliau sudah tidak berminat 
			untuk mengetahui perkembangan pemulihan projek tersebut dan hanya 
			mahu wangnya dikembalikan. "Saya akan ambil tindakan undang-undang jika 
			mereka enggan memulangkan wang tersebut kerana ini dikira satu 
			penipuan. Saya telah mendengar pendapat beberapa orang peguam dan 
			mereka kata say boleh mengambil tindakan mahkamah terhadap pemaju," 
			katanya. Dalam pada itu Norhiza menjelaskan, sehingga 
			sekarang pun beliau belum menerima sebarang surat mengenai SPNB dan 
			pemaju yangakan mengadakan perbincangan dengan pembeli terbabit mengenai 
			pemulihan projek berkenaan yang dijangka diadakan pada hujung
 minggu ini.
 Isu mengenai projek terbengkalai di Lembah 
			Beringin ini timbul apabila Norhiza telah menulis surat dan 
			disiarkan di muka depanUtusan Malaysia.
 |