| 600 penduduk tanggung beban 
    lapan tahun 30/08/2004  Utusan Oleh: RADZUAN 
    HASSAN.   
     
    TERBENGKALAI...NASRUL Hisham Nasri, 31, melihat keadaan rumahnya yang gagal 
    disiapkan sejak lapan tahun lalu di Taman Serosa, Kajang, Selangor, semalam. 
    - Gambar MOHD. NAIM AZIZ.  KAJANG 29 Ogos - Kira-kira 600 pembeli rumah Taman Serosa, di sini 
    terpaksa menanggung beban membayar pinjaman bank setiap bulan sedangkan 
    projek berkenaan terbengkalai sejak lapan tahun lepas. Beban yang terpaksa ditanggung itu kini semakin teruk apabila pemaju 
    perumahan, Serosa Resources Sdn. Bhd., didapati sudah `gulung tikar' sejak 
    Februari lalu. Wakil jawatankuasa pembeli rumah Taman Serosa, Hussin Samin, 37, 
    berkata, keadaan itu menyebabkan mereka seolah-olah `sudah jatuh, ditimpa 
    tangga' dan semakin tertekan bagi mencari jalan penyelesaian. ``Pemaju sudah muflis dan projek ini terbengkalai sekian lama tetapi kami 
    terpaksa membayar pinjaman kepada bank setiap bulan tanpa mendapat rumah 
    yang dijanjikan. ``Ini adalah rumah pertama saya dan akibat terbengkalai saya terpaksa 
    menyewa sehingga kini,'' ujarnya kepada Utusan Malaysia. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi lawatan Ahli 
    Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon ke kawasan berkenaan di sini hari ini. Projek Taman Serosa yang terletak di Batu 14 Jalan Cheras-Kajang itu 
    melibatkan 63 unit rumah teres dua tingkat bernilai RM160,000, 240 unit 
    rumah pangsa kos sederhana dan 110 unit rumah pangsa kos rendah yang 
    masing-masing ketika itu berharga RM55,000 dan RM25,000. Seorang lagi mangsa, Ahmad Sudir, 46, pula memberitahu, impiannya 
    bagi memiliki rumah sendiri `berkubur' apabila projek berkenaan terbengkalai. ``Saya beli rumah pangsa kos rendah di sini sejak 1996 lagi dan mereka 
    janji akan siap menjelang 1998 tetapi semua itu kini sudah hancur. ``Saya terpaksa membayar setiap bulan pinjaman bagi `hutan belukar' 
    sahaja,'' ujarnya. Gara-gara projek terbengkalai, Razali Omar, 42, pula terpaksa 
    terus menetap di kawasan penempatan setinggan di Cheras Baru. ``Dulu semasa membeli rumah di sini pada 1996, saya berharap saya boleh 
    tinggal pada 1998 tetapi sehingga kini saya terpaksa tinggal di kawasan 
    setinggan kerana ia terbengkalai,'' katanya. Masalah yang sama turut dihadapi Nasrol Hisham Nasri, 31, yang 
    membeli rumah teres di kawasan yang sama tetapi kini rumahnya itu sudah 
    dipenuhi dengan lalang dan belukar. Sementara itu, Pian Hon berkata, pihaknya mengemukakan masalah yang sama 
    pada Kabinet, Jun lepas dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan 
    telah mengklasifikasikan projek berkenaan sebagai kes Jabatan Insolvensi 
    Malaysia selepas pemaju terbabit sudah `gulung tikar'. ``Jabatan Insolvensi Malaysia akan mengambil alih masalah ini dan mereka 
    mungkin beri kepada pemaju lain untuk memulihkannya. ``Kementerian juga perlu beri alasan kenapa pemaju gagal menyiapkannya 
    seperti yang dijanjikan,'' katanya. Beliau juga mencadangkan Bank Negara Malaysia mengadakan perbincangan 
    dengan semua bank dan institusi kewangan terbabit supaya memberhentikan 
    sementara bayaran bulanan daripada pembeli projek rumah terbengkalai. |