| 
            286 pembeli setuju SPNB pulihkan 
			projek rumah terbengkalai 30/08/2004 Utusan 
            Malaysia 
 HULU SELANGOR 29 Ogos - Sebanyak 286 daripada 657 pembeli rumah di 
			Lembah Beringin bersetuju dengan langkah Syarikat Perumahan Negara 
			Berhad (SPNB) untuk memulihkan projek rumah kawasan itu yang 
			terbengkalai sejak 1997.
 
 Mereka berpendapat, langkah memulihkan empat fasa perumahan 
			terbengkalai itu adalah tepat pada masanya walaupun mereka mengalami 
			kerugian besar bagi membayar pinjaman bank dan sewaan rumah sejak 
			tujuh tahun lalu.
 
 Pengerusi Jawatankuasa Pembeli Rumah Lembah Beringin, G. Gevananthan, 
			44, berkata, beliau telah pun mendapat persetujuan sebahagian 
			daripada pembeli rumah terbabit setelah mengadakan perbincangan 
			dengan mereka baru-baru ini.
 
 Jelasnya, kebanyakan pembeli kecewa dengan kegagalan pihak pemaju, 
			Lembah Beringin Sdn. Bhd., (LBSB) menyiapkan projek itu, namun, 
			langkah terbaik adalah dengan membenarkan SPNB memulihkan semula 
			projek tersebut.
 
 ``Kami bukannya tidak mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap 
			LBSB, sebaliknya kami mahu pelbagai cara alternatif dilaksanakan 
			bagi mengurangkan kerugian pembeli selama ini.
 
 ``Jika kami saman pemaju sekalipun, mereka bukannya ada duit yang 
			mencukupi untuk membayar segala kerugian yang telah kami tanggung 
			selama ini,'' katanya ketika ditemui pada majlis penerangan dan 
			menandatangani surat akujanji bagi pemulihan projek perumahan 
			terbengkalai Lembah Beringin di sini semalam.
 
 Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian 
			Operasi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ahmad 
			Kamaruddin Abd. Rashid dan Penolong Pengurus Besar Bahagian 
			Pemulihan Projek SPNB, Mohd. Nor Abd. Razak.
 
 Isu perumahan Lembah Beringin gagal disiapkan ini disiarkan melalui 
			Surat Pembaca di muka satu Utusan Malaysia 23 Ogos lalu yang 
			memaparkan pengalaman penulis menggelarkan dirinya sebagai Penanti 7 
			Tahun.
 
 Penulis itu tidak berpuas hati dengan pihak pemaju LBSB yang gagal 
			menyiapkan rumah berkenaan sejak 1997 iaitu ketika dia baru 
			memperoleh anak kembar dan masalah itu terus berlarutan sehingga 
			anak kembarnya berumur tujuh tahun kini.
 
 Sementara itu, seorang pembeli rumah di situ, Kamarul Baharin, 34, 
			berkata, dia amat bersetuju dengan langkah SPNB untuk memulihkan 
			projek perumahan terbengkalai itu kerana projek itu telah memberi 
			kerugian besar kepadanya.
 
 ``Saya tidak akan membantah dengan langkah SPNB itu dan akan 
			menyerahkan segala tindakan kepada jawatankuasa penduduk bagi 
			mengurangkan bebanan yang dialami oleh kami selama ini,'' ujarnya.
 
 Pembeli rumah, Adlee Mustafa, 38, berkata dia dan segelintir pembeli 
			rumah yang lain masih mempertimbangkan langkah SPNB untuk memulihkan 
			projek tersebut.
 
 ``Saya masih mahu wang ganti rugi RM40,000 yang saya alami selama 
			tujuh tahun lalu ekoran terpaksa membayar wang ansuran dan pinjaman 
			kepada bank,'' ujarnya.
 
 Pembeli rumah, Nur Ain Abdullah, 35, berkata, dia dapati rumah yang 
			dibelinya hanya separuh siap dan terbengkalai sejak 1998 lalu.
 
 ``Saya setuju jika SPNB menjalankan projek pemulihan berkenaan 
			tetapi segala kemudahan asas seperti padang permainan, stesen minyak, 
			jalan raya, lampu jalan dan pelbagai lagi perlu dilengkapkan juga,'' 
			ujarnya.
 
 Seorang lagi pembeli rumah, Julie P. L. Tan, 42, berkata, beliau 
			amat berharap agar SPNB dapat menyiapkan projek terbengkalai itu 
			dengan segera kerana sudah kecewa dengan pihak pemaju sebelum ini.
 
 ``Saya sudah rugi lebih dari RM100,000 setakat ini dan jumlah itu 
			tidak termasuk bayaran rumah sewa dan pelbagai lagi.
 
 ``Selepas ini, saya mungkin ke Hong Kong untuk bertugas di luar 
			negara selama beberapa tahun, apa yang saya harap, rumah itu akan 
			siap sepenuhnya apabila saya kembali ke sini,'' katanya.
 |