| 
            172 projek nazak (Membabitkan 47,724 unit 
			rumah pelbagai jenis bernilai RM3.2 bilion)23/08/2004
			Harian Metro
 SYARIKAT Perumahan Negara Bhd (SPNB) yang diberi tanggungjawab oleh 
			kerajaan membina rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan 
			mengambil alih projek perumahan terbengkalai, berjaya memulih dan 
			menyiapkan 23 projek perumahan terbengkalai yang lengkap dengan 
			Sijil Layak Menduduki (CF) di seluruh negara sehingga 31 Mac lalu.
 Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Zaihan Mohd Zain, berkata jumlah itu 
			daripada keseluruhan 172 projek perumahan terbengkalai yang sudah 
			dikenal pasti untuk dipulihkan di seluruh negara sehingga 31 Januari 
			lalu.
 
 Menurutnya, keseluruhan projek itu yang dikenal pasti Kementerian 
			Perumahan dan Kerajaan Tempatan membabitkan 47,724 unit rumah 
			pelbagai jenis bernilai kira-kira RM3.2 bilion.
 
 Beliau berkata, 19 projek lagi kini dalam pelaksanaan, kajian 
			lanjutan (92) dan selebihnya (38 projek) dikenal pasti tidak boleh 
			dipulihkan.
 
 “Program pemulihan projek terbengkalai itu dibiayai dana Tabung 
			Pemulihan Projek Perumahan Terbengkalai (TPPPT),” katanya.
 
 SPNB ditubuhkan pada Ogos 1997 adalah syarikat milik penuh Menteri 
			Kewangan Diperbadankan dengan modal berbayar diterbitkan RM10 juta 
			pada RM1 sesaham.
 
 Sejak 1990 hingga Disember 2003, Kementerian Perumahan dan Kerajaan 
			Tempatan mengenal pasti 176 projek perumahan terbengkalai di seluruh 
			negara.
 
 Bagaimanapun, daripada jumlah itu, 77 projek dipulihkan dan 99 masih 
			lagi terbengkalai. Dalam tempoh yang sama, sebanyak 12,972 unit 
			sudah siap dibina dan masih menunggu CF manakala 3,101 unit rumah 
			lagi masih terbengkalai.
 
 Tahun lalu, sebanyak 62 daripada 199 projek perumahan yang 
			terbengkalai di seluruh negara akibat kegawatan ekonomi 1997, 
			berjaya dipulihkan dan menerima CF.
 
 Sebanyak 15 lagi projek perumahan yang terbengkalai turut berjaya 
			disiapkan sepenuhnya tahun ini tetapi dalam proses mendapat CF 
			manakala 15 lagi diambil alih pemaju lain untuk disiapkan.
 
 Daripada 199 projek perumahan terbengkalai akibat kegawatan ekonomi 
			1997, 99 projek berpotensi untuk dipulihkan manakala lapan lagi 
			projek perumahan mungkin tidak dapat dipulihkan kerana faktor 
			teknikal seperti pembeli tidak berminat lagi berikutan terlalu lama 
			menunggu mendapatkan rumah.
 
 Sementara itu, dalam tempoh 1998 hingga 2003, 3,248 unit pangsapuri 
			perkhidmatan yang terbengkalai membabitkan 23,840 pembeli, berjaya 
			dipulihkan.
 
 Mohd Zaihan berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan, sebahagian 
			besar projek perumahan terbengkalai itu berpunca daripada masalah 
			kewangan yang dihadapi syarikat pemaju asalnya.
 
 Selain itu, katanya, projek berkenaan juga terbengkalai disebabkan 
			pemaju terbabit mengalami masalah dengan pihak bank kerana aliran 
			tunai yang tidak mantap.
 
 “Tindakan mengambil alih projek perumahan terbengkalai itu bukan 
			untuk menyelamatkan pemaju, tetapi membantu pembeli rumah.
 
 “Adalah menjadi tanggungjawab SPNB memulihkan projek terbabit demi 
			kepentingan rakyat dan kita mendapat sokongan padu kerajaan negeri 
			dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menjayakannya.
 
 “Kerjasama dan bantuan yang diberikan pihak terbabit membantu SPNB 
			dalam melaksanakan tanggungjawab memulihkan projek berkenaan dengan 
			berkesan,” katanya.
 
 Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd Isa Abdul 
			Samad, berkata semua projek pembangunan komersial di ibu negara yang 
			terbengkalai sejak 1997 berikutan krisis ekonomi akan dimaju dan 
			diusahakan semula.
 |