| Kecewa gaji dipotong rumah 
    belum siap 12/07/2004 Utusan  Saudara Pengarang,
 SAYA adalah salah seorang pembeli rumah teres kos sederhana setingkat di 
    Taman Dato Bahaman, Lanchang, Pahang.
 
 Saya kecewa kerana rumah yang dibeli melalui pinjaman kerajaan, tidak siap 
    seperti dijanjikan iaitu bulan Disember 2003, tetapi gaji saya telah dibuat 
    potongan.
 
 Untuk pengetahuan pihak yang bertang-gungjawab, saya dan semua pembeli rumah 
    di taman tersebut bukanlah dari golongan yang berpendapatan tinggi dan kami 
    ada keluarga yang hendak ditanggung. Jikalau rumah siap dan gaji dibuat 
    pemotongan, kami sebagai pembeli berpuas hati.
 
 Saya berharap pihak pemaju iaitu Komena Bhd. (Koperasi Melayu Nusantara 
    Berhad) dan pengurus projek Zar Development Sdn. Bhd., dapat menyelesaikan 
    projek tersebut dalam jangka masa yang terdekat dan membuat penggantian 
    terhadap mana-mana struktur bangunan yang telah reput dan usang.
 
 Harapan saya supaya peguam yang mewakili saya dan semua pembeli di taman 
    perumahan tersebut dapat memainkan peranan yang lebih baik, supaya projek 
    perumahan tersebut dapat siap dengan sempurna.
 
 Saya berharap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerajaan Pahang 
    dan wakil rakyat bahagian Lanchang dapat membantu menyelesaikan masalah ini.
 
 Perdana Menteri kita ada menyuarakan bahawa beliau tidak mahu ada 
    projek-projek terbengkalai dan menyusahkan rakyat, salah satunya adalah 
    projek perumahan. - ALI-BFI, Lanchang, Pahang.
 
 |