| 
	
		
			| SPNB pulih 23 projek perumahan terbengkalai 08/06/2004 Berita Harian
 
 SYARIKAT Perumahan Negara Bhd (SPNB) sudah berjaya memulih dan 
			menyiapkan
			23 projek perumahan terbengkalai sehingga 31 Mac lalu, kata Pengarah
			Urusannya, Datuk Mohd Zaihan Mohd Zain.
 
 Beliau berkata, jumlah itu adalah daripada keseluruhan 172 projek
			perumahan terbengkalai yang sudah dikenal pasti untuk dipulihkan di
			seluruh negara sehingga 31 Januari lalu.
 
 Keseluruhan projek itu yang dikenal pasti Kementerian Perumahan dan
			Kerajaan Tempatan (KPKT) membabitkan 47,724 unit rumah pelbagai 
			jenis,
			bernilai kira-kira RM3.2 bilion.
 
 Katanya, 19 projek lagi kini dalam pelaksanaan, kajian lanjutan (92) 
			dan
			selebihnya (38 projek) dikenal pasti sebagai tidak boleh dipulihkan.
 
 Mohd Zaihan berkata demikian kepada pemberita selepas majlis 
			penyerahan
			kunci rumah projek perumahan terbengkalai Taman Seri Bayu yang 
			berjaya
			dipulihkan, di Ampangan, Negeri Sembilan.
 
 Majlis itu yang berlangsung di tapak projek berkenaan semalam,
			disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hamzah Ghazalli. 
			Hadir
			sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, 
			Datuk
			Woo Ah Lek dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paroi, Bibi 
			Sharliza Mohd
			Khalid.
 
 Program pemulihan projek rumah terbengkalai itu dibiayai dana 
			daripada
			Tabung Pemulihan Projek Perumahan Terbengkalai (TPPPT).
 
 Mohd Zaihan berkata, kebanyakan projek perumahan terbengkalai itu
			berpunca daripada masalah kewangan yang dihadapi syarikat pemaju 
			asalnya.
 
 "Adalah menjadi tanggungjawab SPNB memulihkan projek terbabit demi
			kepentingan rakyat dan kita mendapat sokongan padu kerajaan negeri 
			dan
			pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menjayakannya.
 
 "Kerjasama dan bantuan yang diberikan pihak terbabit membantu SPNB 
			dalam
			melaksanakan tanggungjawab memulihkan projek berkenaan dengan 
			berkesan,"
			katanya.
 
 Taman Seri Bayu membabitkan 127 unit pelbagai jenis rumah dengan 32
			daripadanya kos sederhana rendah, 20 (sederhana) dan 75 (rendah) 
			yang
			terbengkalai sejak 1997.
 
 Mohd Zaihan berkata, SPNB tidak mengenakan sebarang bayaran tambahan
			kepada pembeli yang terbabit selepas projek perumahan itu berjaya
			disiapkan.
 
 Sementara itu, katanya, rumah yang dibina oleh SPNB bagi kategori 
			kos
			rendah, sederhana rendah dan sederhana adalah rumah kediaman tiga 
			bilik
			dengan kemudahan dua bilik air.
 
 Beliau berkata, kediaman bercirikan mesra keluarga dan selesa itu 
			dijual
			pada kadar harga di bawah RM100,000 dengan keluasan lantai antara 
			650
			hingga 850 kaki persegi.
 
 "SPNB juga melaksanakan perumahan Skim Rumah Mesra Rakyat (RMR) 
			khusus
			untuk keluarga miskin termasuk ibu tunggal yang tidak mempunyai 
			rumah.
 
 "Mereka yang mempunyai tanah juga boleh dipertimbangkan untuk 
			menyertai
			skim ini dengan satu pertiga daripada kos pembinaan dibiayai melalui 
			Dana
			Khas Kerajaan Persekutuan.
 
 "Sementara itu, baki kos berkenaan boleh dibiayai dengan kaedah
			pembiayaan tanpa faedah yang berlandaskan konsep Al-Qardh," katanya.
 |  |