| 5 tahun tunggu projek Green View 
			belum siap  BERITA HARIAN 22/06/2004
 
 PORT DICKSON: Hasrat lebih 320 pembeli rumah di kawasan Taman 
			Perumahan
			Green View, Pasir Panjang, dekat sini untuk mendiami rumah mereka 
			tidak
			kesampaian apabila rumah yang dijangka siap pada lima tahun lalu 
			masih
			terbengkalai.
 Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Zaharuddin Yusuf, berkata mereka
			membeli rumah daripada pemaju yang dimiliki oleh Sridhaya Holding 
			Sdn Bhd
			dan dibangunkan oleh Eurodec Development & Construction. Katanya, apa yang lebih mendukacitakan mereka adalah sikap pemaju 
			yang
			beberapa kali berjanji akan menyiapkan projek itu tetapi hingga 
			sekarang
			masih gagal menunaikan janji itu. "Dalam surat perjanjian jual beli, pemaju berjanji menyiapkan rumah 
			pada
			akhir 1999 secara berperingkat hingga ke 2002. "Bagaimanapun, nasib kami sungguh malang kerana sehingga kini rumah
			berkenaan masih terbengkalai dan ditinggalkan dalam keadaan semak 
			samun
			dan berhutan. "Kami sudah banyak kali berjumpa wakil pemaju yang berpejabat di 
			pejabat
			tapak Green View Resort Home, Telok Pelandok, dan Pasir Panjang. "Mereka berulang kali berjanji nak siapkan tapi janji tinggal janji. "Kami sudah tidak dapat bersabar lagi, lagipun sebahagian daripadapembeli yang membuat pinjaman kerajaan sudah pun membayar kepada 
			pemaju,
			sedangkan rumah belum juga siap.
 "Terdapat juga beberapa pembeli yang menerima surat amaran dari bank
			yang menyatakan akan menyenarai hitamkan nama mereka untuk sebarang
			pinjaman di masa akan datang," katanya. Zaharuddin yang kesal meminta pemaju supaya lebih bertanggung jawab 
			dan
			memahami kesusahan pembeli kerana sebahagian besar pembeli adalah 
			dari
			golongan berpendapatan sederhana. "Kami terpaksa menyewa rumah lain sedangkan kerajaan atau bank sudah
			memotong gaji kami sejak lima tahun lalu," katanya. Sehubungan itu, katanya, pihaknya berharap Kementerian Perumahan dan
			Kerajaan Tempatan atau pihak berkuasa yang bertanggungjawab dapat
			menjalankan siasatan serta mengambil tindakan terhadap pemaju yang
			terbabit. "Sikap pemaju ini sekali gus membebankan kehidupan kami yang 
			mempunyai
			anak masih bersekolah juga dengan taraf hidup yang semakin tinggi 
			masa
			ini," katanya. Zaharuddin berkata, selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak berharap
			pembeli di taman perumahan itu dapat menghubungi beliau bagi bersama
			menyelesaikan masalah ini di talian 019-2025774. Kawasan perumahan berkenaan yang terletak dalam kawasan Ahli 
			Parlimen
			Telok Kemang, S Sothinathan yang juga Timbalan Menteri Alam Sekitar 
			dan
			Sumber Asli dan kawasan itu berada dalam kawasan Dewan Undangan 
			Negeri
			(Dun) Linggi. |