| 
            Pembeli rumah terbengkalai serik 
			dibebani pinjaman bank  
			 10/05/2004  Berita Harian Kamaliza Kamaruddin
 SEREMBAN: Pembeli lebih 400 unit rumah kos rendah dan kos sederhana
            Fasa 1 dan Fasa 2 Taman Pelangi, Sikamat, menghadapi masalah kerana 
			projek itu masih terbengkalai sejak 1992.
 Kebanyakan projek yang dimajukan sebuah syarikat 
			pemaju tempatan, Mow Seng Housing and Company itu, sudah hampir siap 
			80 peratus.
 Bagaimanapun, 174 unit rumah Fasa 3 sudah diduduki dengan Sijil 
			Layak Menduduki (CF) sementara dan sebahagian pembeli mengubah suai 
			rumah mereka untuk tinggal lebih selesa .
 
 Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Pelangi, Mohd Ridza Jabal, 
			berkata pihaknya berharap rumah terbengkalai itu disiapkan segera 
			kerana pembeli bosan berdepan kerenah pemaju yang memberi pelbagai 
			alasan ketika ditanya kemajuan projek itu.
 
 "Lokasi rumah kami ini sangat strategik kerana berhampiran bandar 
			dan terletak bersebelahan Kolej Tafe.
 
 "Permintaan untuk menyewa rumah pastinya tinggi kerana faktor 
			lokasinya selain membolehkan pembeli berpindah ke rumah milik mereka," 
			katanya.
 
 Berikutan masalah itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan 
			Tempatan negeri, Datuk Woo Ah Lek, yang mengadakan lawatan ke taman 
			berkenaan, baru-baru ini, berkata masalah projek rumah terbengkalai 
			ini dijangka dapat dipulihkan berikutan persetujuan awal pemajunya 
			menyerahkan projek itu kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad 
			(SPNB).
 
 Beliau berkata, SPNB akan meneliti semua dokumen asal milik syarikat 
			pemaju itu sebelum mengambil alih pembinaan rumah terbengkalai itu.
 
 Katanya, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat di Kementerian 
			Perumahan dan Kerajaan Tempatan, tidak lama lagi.
 
 Kerajaan negeri, katanya, memberi jaminan masalah itu akan 
			diselesaikan dalam tempoh terdekat berikutan rundingan kedua-dua 
			belah pihak dilihat berjaya mencari kata sepakat.
 
 "Saya sangat bersimpati dengan nasib pembeli rumah di Taman Pelangi 
			yang terpaksa menanggung beban membayar faedah pinjaman bank dan 
			terpaksa membayar sewa rumah yang mereka duduki.
 
 "Ini adalah sesuatu yang tidak adil, tambahan pula kebanyakan 
			pembelinya adalah pesara kerajaan," katanya.
 
 Hadir sama Pengarah Urusan Mow Seng Housing and Company, Chew Ee 
			Teong, bersama penasihat syarikatnya, Tan Suan Cho; Ahli Dewan 
			Undangan Negeri (Adun) Sikamat, Mohd Yusop Harmain Shah dan wakil 
			dari SPNB.
 
 Bagaimanapun, Chew berkata, pihaknya mengambil alih pembinaan projek 
			perumahan itu daripada pemilik asal syarikat Mow Seng pada 1994 dan 
			tidak menyangka projek itu bermasalah.
 
 Katanya, pelbagai usaha sudah dilakukan untuk menyiapkan rumah 
			terbengkalai tetapi menemui jalan buntu berikutan pihaknya 
			kekurangan sumber kewangan.
 
 "Pembeli tidak membayar wang mengikut jadual dan lebih malang lagi 
			banyak besi dan peralatan lain milik syarikat dicuri pihak tidak 
			bertanggungjawab.
 
 "Pengawal keselamatan yang diupah untuk menjaga peralatan itu juga 
			sudah berhenti kerana tidak tahan diugut pencuri.
 
 "Kami memang mahu SPNB mengambil alih projek pembinaan rumah 
			terbengkalai ini demi kepentingan semua pihak," katanya.
 
 |