| Pemaju muflis, 
    pembeli rumah gigit jari 10/05/2004
    Harian Metro
 
 KAJANG: Pembeli rumah Taman Serosa terpaksa menanggung kerugian apabila 
    rumah yang dijanjikan terbengkalai berikutan pemajunya sudah diisytihar 
    muflis.
 Pengurus syarikat swasta, Hussin Saimin, 37, berkata dia sudah membayar 10 
    peratus daripada harga rumah teres dua tingkat yang dibelinya sejak 2000 dan 
    dijangka siap 2002, namun sehingga kini rumah itu hanya siap 70 peratus saja.
 "Saya menanggung kerugian kerana terpaksa membayar RM520 sebulan untuk rumah 
    yang tidak siap ini dan amat berharap Kementerian Perumahan dan Kerajaan 
    Tempatan dapat membantu menyelesaikan masalah kami," katanya.
 Menurutnya, kebanyakan pembeli sudah membuat bayaran antara 10 hingga 20 
    peratus daripada harga rumah.
 Ahli Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon, yang mememui pembeli terbabit 
    berkata satu jawatankuasa bertindak perlu ditubuhkan bagi menyelesaikan 
    masalah mereka.
 "Memandangkan pemaju diisytiharkan muflis, kawasan ini menjadi tanggungjawab 
    Pemegang Harta untuk menguruskannya dan pembeli perlu menubuhkan sebuah 
    jawatankuasa bertindak bagi memperjuangkan nasib mereka," katanya.
 |