HBA syor hotline 
			didik pembeli rumah   
			BeritaHarian 17/5/2004 
			 
			KUALA LUMPUR: Persatuan 
			Pembeli Rumah (HBA) mencadangkan kerajaan mewujudkan talian 
			hotline dan unit kaunseling bagi mendidik pembeli rumah mengenai 
			pengurusan kewangan mereka.
            Setiausaha 
			Agungnya, Chang Kim Loong, berkata mereka yang berhasrat membeli 
			hartanah khasnya Rumah Kos Rendah perlu mengenal pasti latar 
			belakang kewangan sendiri dan beban yang bakal ditanggung. 
			Beliau berkata, isu pengurusan kewangan dan 
			pendidikan tidak boleh diketepikan sejajar keputusan kerajaan 
			membenarkan isi rumah berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri. 
			"Mereka perlu merancang belanjawan selepas 
			pembayaran deposit ada kos lain yang perlu ditanggung seperti duti 
			setem dan yuran guaman. 
			"Kami mencadangkan kerajaan mewujudkan program 
			pendidikan pemilikan rumah untuk meningkatkan pengetahuan kewangan 
			isi rumah berpendapatan sederhana rendah supaya mereka bersiap sedia 
			terhadap tanggungjawab sebagai pembeli rumah. 
			"Ini kerana ada ramai pembeli yang tidak sedar 
			tanggungjawab sendiri selepas membeli rumah. 
			"Ada yang mengharapkan kerajaan membayar segala-gala 
			kos seperti bayaran penyelenggaraan dan ada pula tidak melakukan 
			khidmat masyarakat serta menjaga kemudahan awam," katanya ketika 
			dihubungi kelmarin. 
			Khamis lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan 
			Tempatan, berkata pendapatan isi rumah RM1,500 sebulan sebagai 
			syarat layak membeli rumah kos rendah dikekalkan sehingga satu 
			kajian pakar dilaksanakan bagi mengkaji semula kelayakan itu. 
			Beliau berkata, kajian itu akan mengambil kira 
			beberapa faktor, termasuk jumlah tanggungan pemohon, Indeks Harga 
			Pengguna (CPI) dan kos hidup. 
			Chang berkata, program pendidikan itu boleh 
			diwujudkan dalam bentuk risalah atau buku kecil, nasihat dan 
			maklumat melalui telefon, bengkel atau kaunseling secara bersemuka. 
			Beliau berkata, perkhidmatan itu perlu disediakan 
			sebelum pembeli rumah berpotensi menandatangani perjanjian jual beli 
			(S&P) manakala kaunseling pula bertujuan membantu pembeli 
			menguruskan kewangan dan mengelakkan mereka daripada kehilangan 
			rumah. 
			Katanya, program pendidikan boleh dibahagi kepada 
			dua kategori iaitu sebelum dan selepas pembelian rumah. 
			"Pendidikan pra pembelian boleh meliputi memahami 
			proses pembelian, pinjaman dan jenis rumah serta menilai keperluan 
			isi rumah dan persediaan kewangan. 
			"Pendidikan pasca pembelian pula terdiri daripada 
			aspek merancang 
			perbelanjaan bulanan, membuat bayaran secara tetap, mengelakkan 
			kegagalan permohonan pinjaman, kehidupan dalam komuniti, 
			tanggungjawab sosial, bayaran yang bakal menyusuli dan cara 
			menangani masalah hartanah," katanya.  |