| Taman Pelangi terbengkalai 12 
    tahun  Utusan Malaysia 14/4/2004
 MASALAH penduduk rasa pertama dan kedua Taman Pelangi dekat Sikamat, 
    Seremban bukan masalah baru.
 Malah setiap kali menjelang pilihan raya, penduduk ditaburkan dengan 
    janji-janji bahawa masalah itu akan diselesaikan selepas pilihan raya. 
    Terbaru, semasa kempen pilihan raya umum 21 Mac lalu.
 Apabila pilihan raya berakhir, masalah projek perumahan terbengkalai itu 
    tinggal begitu sahaja.
 Masalah itu akan hidup semula apabila tiba pilihan raya akan datang.
 Apa yang lebih menyakitkan hati ialah kawasan taman perumahan terbengkalai 
    ini sebenarnya tidak asing kepada pemimpin negeri.
 lni kerana ia menjadi laluan mereka untuk menghadiri majlis-majlis rasmi di 
    Kolej Tafe dan Sekolah Kebangsaan Sikamat yang terletak berhampiran dengan 
    taman ini.
 Kebanyakan mangsanya terdiri daripada pesara tentera dan polis serta 
    kakitangan kerajaan.
 Projek perumahan Taman Pelangi ini terletak dalam kawasan Sikamat, yang 
    merupakan sebuah kawasan pinggir bandar Seremban yang mengandungi banyak 
    taman perumahan.
 Negeri baru yang diwujudkan dalam pilihan raya umum 2004.
 Di tengah-tengah 'kehebatan' Sikamat itu, ramai yang tidak nampak atau 
    pura-pura tidak tahu mengenai masalah yang dihadapi oleh penduduk- penduduk 
    rasa pertama dan kedua perumahan Taman Pelangi.
 Mereka tidak banyak pilihan, kecuali mendiami rumah yang terbengkalai 
    ditinggalkan pemaju itu.
 Penduduk-penduduk taman itu memberitahu, masalah yang mereka tanggung telah 
    berlanjutan lebih daripada 12 tahun.
 Menurut mereka, pelbagai janji ditaburkan setiap kali menjelang pilihan raya 
    umum termasuk yang terbaru pada 21 Mac lalu.
 Apabila Utusan Malaysia membuat tinjauan hanya didapati pemandangan yang 
    menyedihkan.
 Hasil tinjauan mendedahkan. Banyak rumah terbengkalai telah runtuh 
    sebahagian daripada atap dan binaannya dipenuhi dengan semak samun yang akan 
    menjadi pusat pembiakan binatang bisa.
 Selain itu sistem kumbahan juga teruk dan tidak teratur sehingga 
    mendatangkan bau tidak menyenangkan, yang boleh mendatangkan penyakit 
    berbahaya lain.
 Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Projek Terbengkalai taman itu, Mohammad 
    Ahmad berkata, sejak projek itu dimulakan pada tahun 1989 dan sepatutnya 
    siap untuk diduduki pada tahun 1992, sebanyak lima pemaju telah dilantik 
    untuk menyiapkannya.
 Bagaimanapun, kesemua pemaju melarikan diri selepas gagal menyiapkannya 
    mengikut jadual. Beliau mendakwa, terdapat kira-kira 400 buah rumah 
    dibiarkan terbengkalai tanpa disiapkan oleh pemaju.
 "Kita terpaksa duduk juga walaupun rumah tidak siap. Kita tidak sanggup 
    menyewa rumah lain sementara menunggu projek ini siap sepenuhnya. lni 
    dibebankan lagi apabila terpaksa membayar balik pinjaman perumahan pada masa 
    yang sama.
 "Dulu ada pihak televisyen datang membuat liputan mengenai masalah kami.
 "Pihak Syarikat Perumahan Negara Berhad telah berjanji untuk membantu 
    sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun lalu, tapi senyap kemudian janji lagi 
    sebelum pilihan raya umum baru-baru ini ,tapi masih lagi senyap sehingga 
    kini," katanya kepada Utusan Malaysia.
 Antara penduduk yang ditemui ialah suri rumah, Nurjihan Dullah, 37. 
    Menurutnya, masalah utama yang dihadapi oleh penduduk ialah bekalan air, 
    elektrik dan sistem kumbahan yang tidak teratur.
 Kata beliau, para penduduk terpaksa meminta ehsan surau berdekatan bagi 
    mendapatkan bekalan air dan terpaksa membuat kutipan bagi membolehkan 
    bekalan elektrik disalurkan ke dalam taman.
 "Pemaju dah berjanji untuk menyediakan kemudahan air dan elektrik malah 
    mereka juga mengutip wang deposit daripada penduduk, tapi malangnya kesemua 
    wang kami itu hilang entah ke mana," ujar beliau.
 Pendapat beliau itu disokong oleh pesara tentera, Zulkifli Kamarudin, 62, 
    yang terpaksa mengeluarkan belanja sendiri bagi menyiapkan rumah yang 
    terbengkalai untuk diduduki. "Saya sudah tua dan tidak mampu lagi untuk 
    menyewa atau membeli rumah lain, jadi terpaksalah saya berjimat cermat 
    mengeluarkan wang simpanan bagi menyiapkan rumah,"
 "Bahkan ada jiran-jiran yang terpaksa meninggalkan rumah begitu sahaja 
    kerana tidak mampu menyiapkannya, pada masa yang sama terpaksa membayar 
    pinjaman perumahan," katanya.
 Beliau yang telah berputus asa kerana tiada tempat lagi untuk mengadu 
    barharap dengan usaha Utusan Malaysia ini akan dapat menyedarkan pihak-pihak 
    yang berkenaan dan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi 
    segala permasalahan rakyat.
 |