| Pembeli minta 
    bantuan atasi rumah terbengkalai 12/04/2004
    Berita Harian
 
 GEORGETOWN: Jawatankuasa Bertindak Pembeli Projek Perumahan Sri Bayu, Bayan 
    Lepas yang terbengkalai kira-kira 10 tahun, akan menghantar memorandum 
    kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memohon 
    bantuan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
 Pengerusinya, Mat Pozian Rashid, berkata memorandum itu akan diserahkan 
    sendiri kepada Perdana Menteri dalam tempoh terdekat ini sebagai usaha 
    terakhir kerana pembeli tidak sanggup lagi menanggung beban bayaran balik 
    pinjaman, selain terpaksa menyewa di rumah lain.
 "Kami pernah menghantar surat kepada Perdana Menteri pada 19 Januari tahun 
    ini. Kali ini kami nak hantar sendiri bagi menceritakan masalah yang 
    dihadapi," katanya selepas majlis perjumpaan pembeli projek perumahan Sri 
    Bayu di Dewan Budaya, Kampung Seronok, di sini, kelmarin.
 Perjumpaan itu menemukan kira-kira 730 pembeli dengan Exco Perumahan negeri, 
    Syed Amerruddin Syed Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayan 
    Lepas.
 Projek pembinaan 234 unit rumah kos rendah dan 496 unit kos sederhana di Sri 
    Bayu itu dimulakan pada 1994. Namun, selepas pemaju projek bertukar beberapa 
    kali, pembeli masih belum dapat mendiami rumah mereka.
 Harga rumah bagi unit rumah kos rendah ialah RM25,000 manakala kos sederhana 
    RM49,000.
 Pembeli menandatangani perjanjian jual beli dengan pemaju Duniaga Sdn Bhd, 
    Jawatankuasa Pemandu Sdn Bhd OKPSB dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) 
    pada November 1994. Dalam perjanjian itu, tarikh jangka siap projek ialah 36 
    bulan dari tarikh perjanjian jual beli.
 Sementara itu, Syed Amerruddin berkata, beliau sudah mendapatkan laporan 
    mengenai projek terbengkalai berkenaan daripada JKPSB dan kemudiannya 
    menyerahkan kepada Penasihat Undang-undang Negeri, Rabu lalu.
 Katanya, beliau akan berjumpa Penasihat Undang-undang Negeri hari ini (Isnin) 
    bagi mengetahui tindakan selanjutnya yang perlu diambil.
 "Saya juga sudah bertemu Ketua Polis Negara dan beliau menyarankan pembeli 
    membuat aduan sekiranya ada sebarang penyelewengan dari segi pembayaran 
    dalam projek itu," katanya.
 
 |