| Pemaju 
      perlu sedia rumah Danau Kota Utusan Malaysia 29/4/2004
 
 KUALA LUMPUR 28 April - Setiausaha Parlimen Kementerian Wilayah 
      Persekutuan, Yew Thong Look menggesa pihak pemaju rumah pangsa kos rendah 
      Taman Danau Kota, Setapak, menyediakan rumah kepada 470 pembeli.
 Beliau berkata, pembeli sudah pun membayar wang 
      pendahuluan sebanyak 10 peratus kepada pemaju asal projek perumahan itu 
      sejak empat tahun lalu tetapi sehingga kini, masih belum memiliki rumah 
      mereka.  "Masalah timbul apabila syarikat pemaju yang mengambil 
      alih projek pembinaan rumah pangsa kos rendah ini enggan mengiktiraf surat 
      perjanjian jual beli rumah yang ditanda tangani antara pembeli dengan 
      pihak pemaju lama.  "Wang pendahuluan sudah pun dibayar kepada pemaju lama 
      dan sekarang 470 pembeli yang sepatutnya mendapat rumah, langsung tidak 
      mempunyai rumah," katanya.  Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas 
      menghadiri satu sesi perbincangan dengan para pembeli rumah pangsa kos 
      rendah Taman Danau Kota di sini hari ini.  'Turut hadir, Pengerusi MCA Bahagian Wangsa Maju, Datuk 
      Ho Yoon Ping dan Penasihat Undang-Undang MCA Wangsa Maju, Benson Foo.  Thong Look berkata, pihak pemaju baru tidak boleh 
      melepaskan tanggungjawab mereka terhadap pembeli yang masih menanti rumah 
      untuk diduduki.  "Apabila syarikat pemaju baru bersetuju mengambil alih 
      pengurusan daripada syarikat pemaju lama, mereka harus memikul beban untuk 
      menepati apa yang telah dijanjikan kepada pembeli.  "Dalam hal ini, saya bersimpati terhadap 470 pembeli 
      kerana masalah mereka dah lama tetapi masih belum selesai," ujarnya.  Beliau berkata, disebabkan tidak mempunyai rumah, 200 
      keluarga tinggal di rumah panjang Danau Kota. "Mereka ini merupakan 
      keluarga yang bersetuju mengikuti skim penempatan semula setinggan di 
      Wilayah Persekutuan.  "Kalau tinggal di rumah panjang, paling lama pun 
      hanyalah untuk tiga tahun. Namun begitu, ada yang tinggal di rumah panjang 
      sejak 10 tahun lalu. lni tentunya tidak selesa," jelasnya. 
 Bertindak
 
 Tambahnya, pemaju sepatutnya membina 1,900 unit rumah tetapi jumlah 
      pembeli adalah seramai 2,730 orang.
 "Inilah yang menimbulkan masalah dan saya telah pun 
      menyebut perkara ini dalam mesyuarat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur 
      dan Kementerian Wilayah Persekutuan mengarahkan para pegawai kementerian 
      itu menjalankan siasatan berhubung perkara ini," katanya.  Beliau turut menyarankan kepada para pembeli rumah 
      pangsa kos rendah Taman Danau Kota supaya menubuhkan satu jawatankuasa 
      bertindak sementara bagi menyelesaikan masalah dengan pihak pemaju.
       "Jika jawatankuasa bertindak sementara ini tidak dapat 
      menyelesaikan masalah dengan pihak pemaju secara rundingan, langkah 
      terakhir ialah mendakwa mahkamah", katanya.  |