| 470 dakwa ditipu RM1 juta 
    rumah dibeli tidak wujud  30/04/2004 Berita Harian 
 KUALA LUMPUR: Seramai 470 pembeli rumah pangsa kos rendah di Taman Danau 
    Kota, Setapak, di sini mendakwa ditipu lebih RM1 juta, selepas mendapati 
    kediaman yang dibeli mereka sebenarnya tidak wujud.
 Pembeli terbabit mendakwa pemaju baru tidak mengiktiraf mereka sebagai 
    pembeli walaupun wang pendahuluan sudah dibayar dan perjanjian jual dan beli 
    (S&P) ditandatangani dengan pemaju asal pada tahun 2000.
 Wakil kumpulan pembeli berkenaan, Lim Chuan Huat, berkata pihaknya akan 
    mengadakan perjumpaan dengan pemaju baru, FOB Land (Setapak) Sdn Bhd dalam 
    masa tiga minggu lagi untuk menyelesaikan masalah itu.
 "Diharapkan ia akan dapat diselesaikan kerana ada di antara pembeli sudah 
    mendiami penempatan sementara di rumah panjang sejak 10 tahun lalu," katanya.
 Seorang lagi pembeli, Tan Seng Kee, 54, berkata masalah itu timbul apabila 
    pemaju asal menyerahkan syarikatnya kepada pemaju baru berikutan pemaju asal 
    sudah gulung tikar dan pengurusan yang baru pula enggan mengiktiraf S&P yang 
    sudah ditandatangani.
 "Kami adalah keluarga generasi kedua setinggan yang layak membeli rumah kos 
    rendah berdasarkan bancian yang dilakukan Bahagian Kemajuan Wilayah 
    Persekutuan dan Lembah Klang di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
 Kumpulan pembeli berkenaan kelmarin mengadakan pertemuan dengan Setiausaha 
    Kementerian Wilayah Persekutuan, Yew Teong Look dan Pengerusi MCA bahagian 
    Wangsa Maju, Datuk Ho Yoon Ping di Wisma MCA Wangsa Maju, di sini, untuk 
    mengemukakan masalah mereka.
 Projek rumah pangsa kos rendah yang ditawarkan pada harga RM25,000 seunit 
    yang dibina sejak tahun 2000 itu sudah siap 90 peratus dan mengandungi lima 
    blok bangunan dengan setiap blok setinggi 20 tingkat.
 Yew berkata, pihaknya akan membantu pembeli mendapatkan rumah kerana 
    kebanyakan mereka adalah golongan kurang berkemampuan.
 "Pemaju tidak sepatutnya berbuat begitu kepada pembeli kerana mereka sudah 
    membayar wang pendahuluan," katanya.
 Sementara itu, Pengurus Kewangan dan Perundangan FOB Land (Setapak) Sdn Bhd 
    (pemaju baru), Mohd Azim Daud, ketika dihubungi Berita Harian berkata, 
    pihaknya mengakui dakwaan penduduk bahawa pemaju lama sudah menerima wang 
    pendahuluan 470 pembeli itu.
 "Pemaju lama ada menerima wang pendahuluan itu dan kekeliruan berlaku 
    selepas pihak pengurusan bertukar tangan.
 "Kami akan menyiasat dengan lebih terperinci masalah ini," katanya.
 Mohd Azim berkata, pihaknya membina 1,900 unit rumah dan menjual kepada 
    1,253 pembeli dan ini bermakna unit yang masih belum terjual adalah 647.
 "Unit yang belum dijual ini untuk setinggan generasi kedua. Kami hanya akan 
    menawarkannya kepada setinggan ini selepas mendapat angka sebenar melalui 
    bancian yang dilakukan oleh JPM," katanya.
 |