| 470 pembeli rumah pangsa kecewa Harian Metro 29/4/2004
 
 KUALA LUMPUR: Seramai 470 pembeli rumah pangsa kos rendah Taman Danau 
      Kota, Setapak, di sini, kecewa kerana tidak mendapat kediaman berkenaan 
      walaupun sudah membayar deposit dan menandatangani perjanjian jual beli 
      (S&P).
 Setiausaha Parlimen Kementerian Wilayah 
      Persekutuan, T L Yew, berkata masalah itu timbul apabila pemaju perumahan 
      terbabit menukar pengurusannya. Katanya, keadaan terbabit berlaku berikutan pemaju asal 
      menjual semua unit kediaman itu kepada pemaju yang lain. Menurutnya, berikutan kelemahan pengurusan pemaju baru, 
      beberapa nama pembeli tercicir dalam senarai pemilikan kediaman itu. "Pemaju asal membina 1,900 unit rumah pangsa berdasarkan 
      skim penempatan semula setinggan dengan harga RM25,000 seunit. "Oleh kerana pemaju kerap bertukar, pemaju baru tidak 
      memantau unit yang sudah dijual menyebabkan mereka masih membuat jualan 
      walaupun rumah sudah habis terjual," katanya. Yew berkata, apabila perkara itu disedari pemaju baru, 
      mereka enggan bertanggungjawab dengan alasan kesilapan disebabkan kecuaian 
      pemaju lama. Katanya, pemaju baru juga menolak cadangan untuk membina 
      unit rumah tambahan kerana pembinaannya membabitkan perbelanjaan yang 
      tinggi. |