Projek terbengkalai Bandar Baru Air Putih dipulihkan
			 
            21/03/2004  Utusan 
			Online  
			
            
			BALIK PULAU 20 Mac - Projek Bandar Baru Air Putih Fasa 1 di sini 
			yang terbengkalai kira-kira empat tahun akan dipulihkan semula bagi 
			membolehkan lebih 200 unit rumah kos rendah dan pangsapuri kos 
			sederhana disiapkan sepenuhnya dalam tempoh 15 bulan. 
			
			Buat masa ini, rumah kos rendah (120 unit) dan pangsapuri kos 
			sederhana (120 unit) itu hanya siap sekitar 10 peratus hingga 25 
			peratus.
			
			Ia akan dibangunkan semula tidak lama lagi apabila satu perjanjian 
			pemulihan ditandatangani di antara JKP Sdn. Bhd (JKPSB) dan Prudent 
			Legacy Sdn. Bhd. (PLSB) hari ini.
			
			Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan di tapak projek 
            Bandar 
			Baru Air Putih, Fasa 1, Mukim 4, Balik Pulau di sini dan disaksikan 
			oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Hilmi Yahaya.
			
			JKPSB, sebuah anak syarikat milik Kementerian Kewangan diwakili oleh 
			Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Noor Abdul Rahim manakala Ketua 
			Pegawai Eksekutif, Malaysia Building Society Berhad (MBSB), Ahmad 
			Farid Omar mewakili PLSB.
			
			Ahmad Farid ketika berucap menyatakan, keseluruhan projek Bandar 
			Baru Air Putih sepatutnya dibangunkan dalam tempoh enam tahun 
			bermula Mei 2000 melibatkan lima fasa mengandungi 2,324 unit 
			komponen kediaman, blok komersial dan industri ringan.
			
			Ia kemudian dibangunkan secara usaha sama di antara JKPSB, MBSB dan 
			Grand Chart Sdn. Bhd. di atas tanah seluas 120 hektar selepas ia 
			dilancarkan pada 30 Ogos 1999.
			
			Bagaimanapun katanya, projek itu terbengkalai kerana situasi ekonomi 
			ketika itu tidak memuaskan sehingga memaksa Hilmi mengarahkan JKPSB 
			mencari jalan penyelesaian bagi menggerakkan projek itu dengan 
			segera.
			
			Daripada sejumlah 412 unit kediaman dan blok komersial, hanya 172 
			unit berjaya disiapkan iaitu 70 unit rumah teres dua tingkat, 82 
			unit rumah berkembar serta 20 unit rumah kedai dengan kos 
			keseluruhan RM23 juta.
			
			Sehubungan itu katanya, perjanjian pemulihan itu membolehkan baki 
			240 unit kediaman melibatkan 120 unit rumah kos rendah bernilai 
			RM30,000 setiap satu dan 120 unit pangsapuri kos sederhana bernilai 
			RM68,000 sebuah disiapkan dalam tempoh tersebut.
			
			Ahmad Farid berkata, lembaga pengarah JKPSB telah melantik 
			kontraktor turnkey, Lembaman Development Sdn. Bhd. untuk memulihkan 
			projek berkenaan manakala JKPSB bertindak sebagai pengurus projek.