| Taman terbengkalai dimajukan 
    semula Kosmo 03/12/2004
 
 KUALA LUMPUR - Penantian lapan tahun 478 pembeli termasuk 128 keluarga 
    setinggan untuk menduduki rumah yang dibeli di Taman Danau Kota, Setapak 
    yang terbengkalai, kini hampir berakhir.
 Ini berikutan perjanjian jual beli yang ditandatangani semalam antara mereka 
    dengan pemaju baru projek pangsapuri kos rendah itu, FBO Land Sdn. Bhd. (FBO) 
    yang mengambil alihnya daripada Danau Kota Development Sdn. Bhd. tahun lalu.
 Pengarah Drusan FBO,Lim Hong Sang memberitahu, projek itu akan siap dan 
    boleh diduduki selewat-lewatnya penghujung tahun depan.
 Menurutnya, kelewatan jual beli semula itu adalah disebabkan pihaknya 
    mendapati 350 daripada pembeli terlibat bukannya penduduk setinggan kawasan 
    berkenaan dan tidak layak bagi program penempatan semula setinggan.
 "Bagaimanapun pihak kami terpaksa menjualnya kepada mereka kerana pembeli 
    telah membayar deposit kepada pemaju terdahulu.
 "Namun mereka ini ditawarkan harga RM33,000 berbanding RM25,000 untuk 
    penduduk setinggan," katanya.
 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani 
    perjanjian jual beli itu di pekarangan pejabat urusan FBO, Taman Danau Kota.
 Majlis itu disaksikan oleh Setiausaha Parlimen Kementerian Wilayah 
    Persekutuan, Yew Teong Look.
 Sehingga semalam, 80 peratus daripada pembeli sudah menandatangani 
    perjanjian jual beli baru.
 Projek Taman Danau Kota secara keseluruhannya melibatkan 1,900 pembeli 
    pelbagai jenis rumah.
 Mengikut perancangan asal, projek tersebut dijadual siap pada 1996, dua 
    tahun selepas perjanjian jual beli asal. la terbengkalai dan gagal 
    dipulihkan, malah terus tidak dibangunkan ekoran masalah kegawatan ekonomi 
    pada 1999.
 Sementara itu, Teong Look pada sidang akhbarnya selepas majlis itu berkata, 
    pembeli yang tidak bersetuju dengan harga yang ditawarkan oleh pemaju baru 
    itu bebas mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju lama.
 |