 PEMBELI rumah Taman Pekatra Indah mengadakan 
				demonstrasi di depan pejabat syarikat pemaju di Simpang Empat, Nibong Tebal, kelmarin. – Gambar 
				oleh Baharin Ramly
PEMBELI rumah Taman Pekatra Indah mengadakan 
				demonstrasi di depan pejabat syarikat pemaju di Simpang Empat, Nibong Tebal, kelmarin. – Gambar 
				oleh Baharin Ramly
				
				Pengerusi Jawatankuasa Sementara Persatuan Pembeli Rumah Taman 
				Pekatra Indah, Fazli Razman, berkata demonstrasi diadakan di 
				hadapan pejabat syarikat itu di Simpang Empat, Sungai Bakap, 
				kerana pembeli sudah tidak sanggup lagi menunggu projek 
				perumahan itu selepas terbengkalai selama lapan tahun.
				
				Katanya, dalam tempoh menunggu projek itu disiapkan, lebih 300 
				pembeli bukan saja terpaksa menyewa rumah tetapi pada waktu sama 
				terpaksa membayar pinjaman perumahan berserta faedahnya di bank.
				
				Beliau berkata, pembeli kini dibebani masalah kewangan yang 
				berat termasuk membayar balik pinjaman bank antara RM500 hingga 
				RM700 sebulan.
				
				"Disebabkan projek rumah teres dan banglo Taman Pekatra Indah 
				terus terbengkalai tanpa harapan dapat disiapkan, kami mengambil 
				keputusan mengadakan demonstrasi bagi mendesak syarikat pemaju menyiapkan projek itu," 
				katanya ketika ditemui, semalam.
				
				Fazli berkata, sepanjang tempoh lapan tahun menunggu projek 
				disiapkan, pelbagai pihak termasuk Pengerusi Jawatankuasa 
				Perumahan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Syed 
				Amerruddin Syed Ahmad ditemui bagi mencari jalan penyelesaian.
				
				"Bagaimanapun sehingga kini projek perumahan yang dimulakan 
				sejak 1996 dan dijangka siap tiga tahun kemudian masih 
				terbengkalai," katanya.
				
				Beliau berkata, dalam tempoh itu enam kontraktor dilantik untuk 
				meneruskan projek berkenaan, namun semuanya gagal disebabkan 
				banyak halangan dihadapi termasuk tidak mendapat kerjasama 
				syarikat pemaju asal.
				
				"Disebabkan kami sudah menunggu begitu lama, kami harap kerajaan 
				negeri dapat mencari jalan membantu kami dengan melantik 
				kontraktor baru bagi meneruskan projek," katanya.