| Projek Serdang Perdana 
    disambung semula dalam empat bulan lagi Kosmo 13/12/2004
  KUALA LUMPUR - Temasya Jaya Sendirian Berhad, pemaju yang mengambil alih 
    projek perumahan terbengkalai Serdang Perdana Seksyen 5, dekat sini 
    memerlukan empat hingga lima bulan sebelum kerja-kerja pembinaan dapat 
    diteruskan.
 Tempoh itu perlu untuk memastikan struktur dalaman bangunan tidak mengalami 
    keretakan selepas terbengkalai sejak 2001.
 Ahli Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon berkata, apa yang diharapkan jalah 
    pembeli dapat menduduki rumah itu secepat mungkin.
 Beliau mahu kepentingan pembeli sentiasa diutamakan kerana mereka telah lama 
    membayar pinjaman bank bagi rumah yang belum siap.
 "Saya akan pastikan projek ini dapat disiapkan secepat mungkin," katanya 
    kepada pemberita semasa melawat kerja-kerja pemulihan projek perumahan itu 
    kelmarin.
 Ia melibatkan 1,708 unit kedai, pangsapuri kos sederhana, pangsapuri kedai, 
    pangsapuri servis dan rumah kos rendah dengan 1,575 unit telah dijual.
 Sebanyak 143 unit projek kedai dan 857 unit pangsapuri kedai pula dijangka 
    siap pada September 2005 manakala 192 unit pangsapuri kos sederhana dan 320 
    unit pangsapuri servis pula siap pada Mac 2006 dan 196 unit rumah rumah kos 
    rendah pada 2007.
 Pian Hon berkata, masih terdapat masalah-masalah teknikal yang perlu diatasi 
    dahulu dengan kerjasama jabatan kerajaan demi memastikan kelancaran projek 
    itu seperti bekalan air dan jalan raya.
 |