| Projek rumah 3 
    tahun terbengkalai Harian Metro 13/12/2004
 
 SERI KEMBANGAN: Projek perumahan Taman Serdang Perdana Seksyen 5, di sini 
    yang terbengkalai sejak tiga tahun lalu menimbulkan tanda tanya pembeli, 
    sama ada pembinaannya akan disambung oleh syarikat pemaju baru dan disiapkan 
    sepenuhnya pada 2007.
 Ahli Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon, berkata impian 1,575 pembeli unit 
    kedai dan kediaman di projek berkenaan berkecai apabila rumah idaman tidak 
    dapat diduduki pada masa dijadualkan sedangkan mereka terpaksa membayar 
    ansuran bank.
 Menurutnya, pada masa sama, pembeli juga menanggung kerugian apabila 
    terpaksa membayar sewa rumah dan ansuran rumah yang dibeli di situ.
 Katanya, pembinaan projek perumahan itu yang dimulakan pada 1998, dihentikan 
    oleh syarikat pemaju asal empat tahun kemudian walaupun sudah 65 peratus 
    disiapkan, dipercayai kerana masalah kewangan.
 "Pemaju asal membina 1,708 unit lot kedai dan kediaman bertaraf apartmen 
    berharga sekitar RM50,000 hingga RM60,000 dan rumah kos rendah (RKR) 
    bernilai RM42,000.
 "Tetapi dengan campurtangan Danaharta Nasional Bhd (Danaharta) selepas 
    beberapa rundingan, projek ini disambung semula dan diambil alih oleh 
    Temasya Jaya Sdn Bhd pada November 2002," katanya.
 Yap berkata, sebelum pemaju baru dapat meneruskan kerja pembinaan, mereka 
    terpaksa meninjau beberapa aspek kerana ada yang terpaksa diubah suai 
    memandangkan projek itu sudah lama ditinggalkan.
 "Menurut pemaju baru, ada sedikit pindaan perlu dilakukan sesuai dengan 
    keperluan semasa dan proses itu mengambil masa selama beberapa bulan sebelum 
    dapat menyambung kerja pembinaan.
 "Mereka juga perlu menunggu kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) apabila 
    menghantar cadangan baru berikutan pengubahsuaian itu," katanya.
 Beliau berkata, kini kerja pembinaan sudah dimulakan dan pembeli berkenaan 
    akan dapat memiliki kediaman itu tetapi secara berperingkat.
 "Bagi peringkat pertama, sebanyak 143 lot kedai berharga lebih RM200,000 dan 
    857 kediaman bertaraf apartmen dijangka disiapkan pada September tahun depan.
 "Kediaman bertaraf apartmen kos sederhana sebanyak 192 unit dan 320 apartmen 
    perkhidmatan disiapkan pada Mac 2006, manakala 196 RKR dijangka siap pada 
    2007," katanya.
 Bagaimanapun, menurut Yap, beliau difahamkan ketika kerja pembinaan itu 
    dilakukan beberapa masalah teknikal wujud dan perlu kerjasama daripada 
    agensi kerajaan untuk diselesaikan.
 "Justeru, agensi berkaitan diminta membantu pemaju menyediakan pelbagai 
    kemudahan kerana projek ini apabila siap kelak akan memberi keselesaan 
    penduduk.
 "Apabila kemudahan asas disediakan baru Sijil Layak Menduduki (CF) dapat 
    dikeluarkan dan pembeli boleh menduduki kediaman berkenaan," katanya.
 Yap berkata, kawasan Serdang sedang melalui proses pembangunan dan kes 
    seperti ini hanya mencacatkan yang dirancang, sekal gus mendorong memastikan 
    tiada projek terbengkalai lagi.
 "Taman Serdang Perdana mempunyai enam seksyen, bagi Seksyen 1 dan Seksyen 2 
    sudah dibangunkan, Seksyen 3 sedang dibangunkan, manakala Seksyen 4 dan 
    seksyen 6 belum dimajukan.
 "Yang menjadi masalah ialah Seksyen 5, tidak lama lagi Seri Kembangan akan 
    menjadi bandar kerana kedudukannya strategik antara pusat bandar dan 
    Putrajaya," katanya.
 |