| Pembeli rumah berangHM 29/11/2004 Hanneeyzah Bariah Baharin
 
 KUALA LUMPUR: Mesyuarat skim pemiutang bagi menentukan pemaju baru projek 
    perumahan di Bandar Sentul Utama, di sini berlangsung dalam suasana hangat 
    dan penuh emosi apabila segelintir pembeli projek perumahan terbabit berang 
    berikutan tidak diberi peluang bersuara.
  Mesyuarat itu bertujuan mendapatkan undi pembeli sama ada bersetuju untuk 
    mempertanggungjawabkan pemaju baru projek perumahan terbabit, Paramount 
    Avenue menyambung projek perumahan terbengkalai sejak 10 tahun lalu yang 
    dikendalikan Sentul Murni Sdn Bhd.
 
 Segelintir pembeli tidak dapat menahan marah apabila pihak pemaju 
    seolah-olah cuba menghasut pembeli supaya bersetuju dengan syarat dan 
    perjanjian baru ditawarkan sedangkan pembeli tidak diberi peluang bersoal 
    jawab dan mengutarakan pendapat.
 
 Mejar Norhidayah Yeoh Abdullah, 44, yang membantah prosedur mesyuarat yang 
    berat sebelah itu disokong sebahagian pembeli yang pada mula hanya bersikap 
    dengar dan lihat.
 
 Keberanian Norhidayah menyuarakan pendapatnya membuka mata pembeli lain 
    untuk bersuara.
 
 “Mereka kata mesyuarat ini diperuntukkan oleh mahkamah antara pemiutang dan 
    pemaju, tetapi mereka tidak memberi peluang kepada kami pembeli yang 
    tertindas oleh masalah pemaju terdahulu untuk bersuara, memberi pendapat 
    atau bertanya soalan, sebaliknya terus menyuruh kami mengundi.
 
 “Ia seolah-olah anda belum habis berkempen tetapi sudah disuruh mengundi 
    sedangkan hak kami untuk bersuara dinafikan,” katanya ketika ditemui di 
    mesyuarat itu di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sentul, semalam.
 
 Mesyuarat itu turut dihadiri Setiausaha Parlimen Kementerian Wilayah 
    Persekutuan, Yew Teong Look yang juga wakil rakyat kawasan itu, wakil 
    Paramount Venue Sdn Bhd, James Low, Mohd Zainudin Baharudin serta 
    PengarahErnst & Young, Ng Teck Wah.
 
 Sementara itu, Ganesh Raj, 42, berkata, pembeli menanggung banyak kerugian 
    akibat projek tergendala itu.
 
 “Kami tanggung kerugian seperti membayar hutang pinjaman bank sedangkan 
    rumah yang kami bayar masih tidak boleh diduduki hingga sekarang.
 
 “Kami mahu tawaran lebih munasabah daripada pemaju dan tidak mahu masalah 
    sama berulang. Kami mahu mereka bina dulu dan jual apabila projek ini siap 
    seperti yang disarankan kerajaan,” katanya.
 
 Keputusan mesyuarat bermula 10.30 pagi tidak menyebelahi pemaju baru projek 
    perumahan berkenaan apabila hanya 68 peratus pembeli bersetuju sedangkan 
    mengikut syarat ditetapkan pemaju hendaklah memperoleh undian 75 peratus ke 
    atas bagi membolehkan mereka menyambung pembinaan projek itu tergendala.
 
 Sementara itu, wakil pemaju baru, Mohd Zainudin Badarudin, berkata, pihaknya 
    hanya meminta supaya denda lewat siap (LAD) yang harus dibayar oleh pemaju 
    kepada pembeli dihapuskan kerana jumlahnya terlalu tinggi.
 
 “Kami sebagai pemaju faham masalah dan beban dihadapi pembeli akibat 
    kelewatan pemaju terdahulu, tetapi jumlah denda itu terlalu tinggi,” katanya
 |