| 
		Pulangkan RM788,000 kepada 171 pembeli 11/10/2004
		Kosmo
 
 SELAYANG - Sebuah syarikat pemaju perumahan 
		projek terbengkalai di sini didesak mengembalikan semula wang pendahuluan 
		dan pembayaran awal lebih RM788,000 kepada 171 pembeli terlibat.
 Projek 49 unit rumah teres satu tingkat dan 144 unit rumah 
		bandar itu terbengkalai selepas syarikat pemaju menerima arahan menghentikan 
		projek kerana tidak mempunyai lesen daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan 
		Tempatan. KOSMO! difahamkan syarikat pemaju berkenaan turut diberi 
		surat oleh Pengawal Perumahan, Kementerian Perumahan dn Kerajaan Tempatan 
		supaya membatalkan perjanjian jual beli, perjanjian pembinaan, dan pinjaman 
		perumahan yang dibuat selain memulangkan RM788,275 kepada kesemua 171 pembeli 
		terbabit. Selain tiada lesen menjalankan projek, syarikat yang sama 
		juga tidak mempunyai kebenaran daripada kementerian tersebut untuk mengiklankan 
		penjualan rumah-rumah itu dalam sebuah akhbar tempatan pada tahun 2002. Perjanjian pembelian tidak sah antara pemaju itu dengan 
		pembeli terlibat mula ditandatangani pada Januari 2003. Semalam, KOSMO! menemu bual beberapa pembeli terlibat 
		yang menyatakan kekesalan mereka terhadap syarikat itu yang bukan saja mengiklankan 
		penjualan rumah walaupun tidak mempunyai lesen. Tinjauan KOSMO! di tapak perumahan yang dijanjikan itu 
		kini dipenuhi belukar. Pembeli-pembeli terbabit berang apabila mengetahui 
		dalam situasi tidak berlesen itu, syarikat berkenaan berani mengutip wang 
		daripada pembeli. Salah seorang pembeli terbabit, Mohd.Nazhirruddin Faseh, 
		28, menyifatkan pemaju sebagai tidak bertanggungjawab kerana mengutip bayaran 
		pendahuluan walaupun tidak mempunyai lesen memajukan projek itu daripada 
		Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. "Saya baca iklan dalam surat khabar, saya ingat mestilah 
		projek itu sudah lulus," katanya.  |