| Perjanjian baru masih tidak sah 
		(Sambung projek terbengkalai di Taman Jasa Murni) 14/10/2004
		Kosmo
 
 KUALA LUMPUR - Tetap tidak sah sehingga kini. Perjanjian baru bagi jual 
		beli rumah yang telah ditandatangani bagi projek yang dimajukan tanpa lesen 
		oleh Intelligent Mission Sdn. Bhd. di Selayang tetap tidak sah.
 
		Ini kerana pemaju berkenaan belum mempunyai lesen pemaju 
		perumahan dan permit iklan serta jualan. Jurucakap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan 
		berkata, syarikat pemaju berkenaan belum dikeluarkan lesen pemaju perumahan 
		untuk menjalankan Projek Taman Jasa Murni di Selayang. "Dengan ini dimaklumkan bahawa Projek Taman Jasa Murni, 
		Selayang iaitu cadangan membina 144 unit rumah bandar dua tingkat dan 49 
		unit di rumah teres satu tingkat di atas hak milik induk No. G.M. 622 No. 
		Lot 2146, No. G.M. 623 No. Lot 2148  dan G.M. No. Lot 2150 di Mukim 
		Batu, Daerah Gombak, Selangor belum mempunyai lesen pemaju perumahan dan 
		permit iklan dan jualan," kata jurucakap itu dalam kenyataan yang dikeluarkan 
		di sini semalam. Difahamkan, 101 pembeli telah menandatangani perjanjian 
		baru dengan syarikat itu. Ia sebagai persetujuan untuk meneruskan pembelian setelah 
		projek itu terbengkalai ekoran masalah lesen tersebut. Ketika dihubungi, jurucakap syarikat itu mengesahkan tentang 
		perkara itu. Menurut sumber KOSMO!, syarikat berkenaan sudah pun diarah 
		oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya membatalkan kesemua 
		perjanjian tersebut kerana ia melanggar peraturan kerana menjalankan proses 
		penjualan sebelum mendapat lesen. "Perjanjian baru atau lama tetap tidak sah. Syarikat itu 
		belum  dapatkan lesen pemaju dan permit jualan," katanya ketika dihubungi 
		semalam. Tambah beliau, status itu akan kekal selagi pemaju berkenaan 
		tidak mendapatkan lesen pemaju untuk projek tersebut daripada Kementerian.
 "Tanpa lesen itu, syarikat berkenaan tidak boleh melakukan 
		sebarang transaksi jual beli dengan mana-mana pihak termasuk bakal pembeli. 
		Syarikat  itu juga tidak boleh mengiklankan penjualan rumah sehingga 
		permit dikeluarkan oleh kementerian," katanya ketika dihubungi, semalam. Ditanya mengenai prosedur yang sah sepatutnya dipatuhi 
		oleh syarikat itu, sumber itu menjelaskan: "Syarikat perlu memulangkan wang 
		yang sudah dikutip terlebih dahulu. Kemudian mereka kena beritahu secara bertulis kepada pembeli 
		tentang status syarikat berkenaan pada masa ini. "Selepas itu barulah mereka kemukakan permohonan mendapatkan 
		lesen mereka dan menunggu untuk kelulusan sebelum melakukan apa-apa urusan 
		penjualan." Setakat ini, kata sumber itu, syarikat berkenaan belum 
		mengemukakan sebarang permohonan seperti yang disyaratkan itu. Sementara itu, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Lokman 
		Hakim Mohd. Jasan memberitahu KOSMO!, mana-mana syarikat pemaju perumahan 
		yang tidak mempunyai lesen memajukan projek di sebuah tempat sepatutnya 
		menyedari larangan melakukan sebarang urusan jual beli. "Ini memang dasar kementerian sejak dulu. Mereka bukan 
		saja perlu ada lesen pemaju malah perlu mendapatkan permit iklan," katanya.  |