| Pangsapuri guru terbiar dua tahun Berita Harian 26/10/2004
 
 PENDANG: Lima blok pangsapuri guru dan kakitangan Kuarters Pendidikan 
      Sekolah Menengah Kubur Panjang dekat sini, terbiar serta ditumbuhi 
      semak-samun kerana tidak digunakan walaupun siap dua tahun lalu.
 
      Rumah kakitangan yang sepatutnya menjadi lambang 
      keprihatinan kerajaan kepada masalah perumahan guru dan kakitangan 
      pendidikan tidak dapat digunakan disebabkan ketiadaan sijil layak 
      menduduki (CF). Penduduk sekitar kawasan itu tertanya-tanya kerana 
      projek rumah yang cantik dan selesa bernilai jutaan ringgit serta mampu 
      memuatkan kira-kira 100 keluarga itu terbiar begitu saja. Seorang penduduk, Ahmad Fauzi Hassan, kesal kerana 
      projek itu yang sepatutnya membawa faedah kepada guru bertukar menjadi 
      pembaziran wangrakyat.
 "Tumbuhan liar hingga ke dinding bangunan menyebabkan 
      banyak kos diperlukan untuk membaik pulih kelak," katanya. Beliau berkata, kawasan perumahan yang semak itu juga 
      dikhuatiri menjadi sarang binatang berbisa. Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pelajaran 
      Kedah, Rozaini Ahmad, berkata kuarters itu siap Ogos lalu dan pemajunya 
      sudah memohon CF. Beliau berkata, guru akan ditempatkan di kuarters 
      berkenaan selepas CF diperoleh daripada pihak berkuasa tempatan.
       |