172 projek terbengkalai akan 
      dipulih 
      20/10/2004 Berita Harian 
      
      LABUAN: Sebanyak 172 projek perumahan terbengkalai mengandungi 47,700 unit 
      rumah dikenal pasti oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan  
      (KPKT) untuk dibaik pulih oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) membabitkan 
      nilai kira-kira RM3.2 bilion.Pengerusi Eksekutif SPNB, Datuk Tengku Adnan 
      Tengku Mansor, berkata antara projek perumahan yang akan dilaksana termasuk 
      di Lembah Beringin, Selangor; Taman Widuri, Seberang Prai Selatan, Pulau Pinang; 
      Taman Petaling Jaya, Selangor; Taman Emas Suria, Batu Pahat, Johor; Taman 
      Sri Gedong Sungai Petani, Kedah; Taman Kantan Permai, Kajang, Selangor dan 
      Taman Desa Melati, Tanah Merah, Kelantan.
      Projek perumahan yang sedang dilaksanakan pula ialah di Pelabuhan Bintulu, 
      Bintulu, Sarawak; Taman Sri Bayu, Bayan Lepas, Pulau Pinang; Taman Sungai 
      Pinang, Klang, Selangor dan Taman Bestari Taiping, Perak.
      Beliau berkata, sembilan projek perumahan terbengkalai yang sudah disiapkan 
      SPNB dengan sijil layak menduduki termasuk Taman Seri Bayu, Seremban; Taman 
      Permai Jaya, Ampang; Taman Sutra, Kulai Johor; Taman Masai, Kuala Selangor; 
      Wisma Telaga, Butterworth, Pulau Pinang; Taman Dalma Semenyih, Kajang; Taman 
      Rakyat Gambang, Kuantan, Pahang; Taman Lingkaran Nur, Cheras, Selangor dan 
      Taman Mutiara Kampung Sungai Bedaun, Wilayah Persekutuan Labuan.
      "SPNB mahu memastikan rakyat mampu memiliki rumah berkualiti dan selesa 
      sama ada di bandar atau luar bandar di seluruh negara," katanya pada majlis 
      penyerahan kunci projek rumah terbengkalai Taman Mutiara, Sungai Bedaun, Wilayah 
      Persekutuan Labuan, di sini petang kelmarin.
      Pada majlis itu, seramai 320 pembeli rumah unit sederhana dari Fasa 1A 
      di taman berkenaan menerima kunci masing-masing daripada Menteri Wilayah Persekutuan, 
      Tan Sri Mohamad Isa Abdul Samad.
      Tengku Adnan berkata projek perumahan Taman Mutiara yang diusahakan Syarikat 
      Usahasama KAM-LDAH Sdn Bhd pada penghujung 1996, terbengkalai pada 2000.
      Beliau berkata projek berkenaan diambil alih oleh SPNB pada 2002 dan rancangan 
      pemulihan telah dimulakan pada 2003 untuk disiapkan.
      Projek perumahan Taman Mutiara itu membabitkan 16 blok rumah pangsa kos 
      sederhana dan 20 unit rumah kedai, manakala harga seunit untuk rumah kos sederhana 
      Fasa 1A bernilai antara RM67,999 hingga RM69,999.