| Projek perumahan Serdang 
    Perdana dipulihkan semula Utusan Malaysia 17/9/2003
 
 SERI KEMBANGAN 16 Sept. - Projek perumahan Seksyen Lima, Serdang Perdana di 
    sini yang terbengkalai sejak dua tahun lalu akan dipulihkan semula oleh dua 
    buah syarikat pemaju perumahan swasta tidak lama lagi.
 Danaharta Nasional Berhad (Danaharta), pentadbir khas projek itu telah 
    melantik Prinsiptek (M) Sdn Bhd. dan Temasya Jaya Sdn. Bhd. untuk memulihkan 
    projek tersebut.
 Ahli Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon berkata, projek Serdang Perdana 
    yang dimulakan pada akhir tahun 1998 telah terbengkalai pada awal November 
    2001 apabila pemajunya mengalami masalah kewangan yang teruk.
 Katanya, masalah kewangan itu berpunca dari krisis kewangan Asia yang turut 
    melanda negara ini walaupun sebahagian daripada rumah di dalam projek itu 
    telah 80 peratus siap.
 Menurutnya, selepas gagal menyelamatkan projek tersebut Danaharta telah 
    mengambil alih projek itu untuk ditadbir dan dimajukan semula.
 "Pelantikan dua pemaju baru untuk meneruskan projek tersebut memang 
    merupakan satu kelegaan dan berharap semua pembeli bersabar kerana beberapa 
    urusan awal perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum ia dapat dimulakan 
    semula," jelasnya.
 Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke tapak 
    perumahan terbengkalai di Seksyen lima, Serdang Perdana di sini hari ini.
 Projek perumahan itu mengandungi tiga buah blok rumah kedai empat tingkat, 
    dua buah blok pangsapuri servis 21 tingkat dan satu blok pangsapuri 
    sederhana rendah 20 tingkat.
 
 Ia juga mengandungi tiga blok rumah kedai serta 220 unit pelbagai kemudahan 
    lain untuk penghuni pangsapuri berkenaan.
 Pian Hon menambah, pembeli kini tidak perlu khuatir kerana mereka akan 
    dipanggil oleh pihak pemaju tidak lama lagi bagi menghadiri satu sesi dialog 
    yang membincangkan status pembinaan semula itu.
 "Syarikat pemaju itu akan mengiklankan perjumpaan berkenaan di dalam setiap 
    akhbar tempatan tidak lama lagi," ujarnya.
 Mengenai beban faedah pinjaman yang terpaksa ditanggung oleh lebih 1,300 
    pembeli projek itu, Pian Ron berkata, ia memang merupakan satu masalah 
    tetapi mereka perlu membayarnya kerana ia merupakan sebahagian daripada 
    perjanjian.
 "Saya sendiri sering menerima panggilan daripada para pembeli perumahan 
    berkenaan yang merayu supaya dilakukan sesuatu terhadap bayaran balik 
    pinjaman tersebut," katanya.
 Sebagai inisiatif, katanya, beliau telah berjumpa dengan Timbalan Menteri 
    Kewangan, Datuk Dr. Shafie Salleh supaya dapat diadakan rundingan dengan 
    Bank Negara untuk mendapatkan pengecualian bayaran faedah atau pengurangan 
    faedah pinjaman.
 |