15 
    peguam bantu pembeli rumah bermasalah  
			Berita Harian 15/09/2003 
			 
			KUALA LUMPUR: Pembeli rumah yang mempunyai masalah membuat tuntutan 
    terhadap pemaju masing-masing menerusi Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) 
    akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi, minggu depan.Ia berikutan keputusan mahkamah berkenaan yang menolak kuasa TTPR untuk 
    mendengar kes membabitkan perjanjian jual beli (S&P) yang ditandatangani 
    sebelum 1 Disember 2002. 
			Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Perumahan 
            (HBA), Chang Kim Loong, berkata seramai 15 peguam sukarela 
            akan mewakili pembeli rumah terbabit tanpa mengenakan sebarang 
            bayaran perkhidmatan guaman. 
			"Mereka bukan saja tidak mengenakan bayaran 
            perkhidmatan tetapi peguam berkenaan turut menyumbang tenaga dan 
            masa untuk membantu pembeli terbabit. 
			"Setakat ini, 15 peguam sudah bersetuju membantu 
            pembeli mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi kes mereka dan jumlah 
            peguam yang akan tampil dijangka bertambah tidak lama lagi," katanya 
            pada sidang media di sini, semalam. 
			Beliau berkata, ia adalah sebahagian daripada 
            usaha HBA untuk membantu pembeli rumah mengetahui hak dan 
            kepentingan mereka sebagai pembeli. 
			"Langkah ini juga adalah sebahagian penghargaan 
            HBA yang menyokong usaha kerajaan terutama Kementerian Perumahan dan 
            Kerajaan Tempatan yang menjadikan undang-undang perumahan bersifat 
            mesra pengguna," katanya. 
			Mahkamah Tinggi pada 6 September lalu memutuskan 
            bahawa TTPR tidak mempunyai kuasa membuat keputusan kes berhubung 
            S&P yang ditandatangani sebelum 1 Disember 2002 kerana ketika itu 
            tribunal belum diwujudkan.   |