| 359 projek perumahan 
    terbengkalai sudah dipulih  07/06/2003 Berita Harian 
 KUALA LUMPUR: Sebanyak 359 projek terbengkalai membabitkan 67,792 unit rumah 
    dan 47,887 pembeli sudah dipulihkan sehingga akhir tahun lalu.
 Timbalan Menterinya, Datuk M. Kayveas, berkata sepanjang tempoh itu, 544 
    projek terbengkalai dilaporkan, membabitkan 125,649 unit rumah dan 80,070 
    pembeli dengan kos keseluruhan projek RM9.49 bilion.
 Beliau berkata, daripada projek yang masih terbengkalai, 82 dikenal pasti 
    berpotensi untuk dipulihkan membabitkan 38,049 unit rumah serta 22,685 
    pembeli dengan nilai anggaran projek RM4.03 bilion.
 “Daripada keseluruhan projek terbengkalai ini 18 peratus adalah di Selangor, 
    iaitu 97 projek, diikuti Perak (79) dan Johor (71) manakala Kelantan dan 
    Terengganu masing-masing 37 dan 28 projek terbengkalai membabitkan 4,059 
    serta 1,426 unit rumah.
 “Kerajaan membuat keputusan memberikan projek rumah terbengkalai ini kepada 
    Jabatan Perumahan Negara dan Syarikat Perumahan Negara yang bekerjasama 
    menguruskan masalah ini.
 “Kami berharap mewujudkan tahap sifar dalam projek terbengkalai satu hari 
    nanti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pameran Hartanah Mega 
    Malaysia anjuran Exhabition Guide (M) Sdn Bhd (Exhibition Guide) di sini, 
    semalam.
 Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Kebudayaan, 
    Kesenian dan Pelancongan, Sharil Saat dan Pengerusi Exhibition Guide, Datuk 
    Syed Abu Bakar Abdullah.
 Kayveas berkata, sebahagian besar projek terbengkalai adalah rumah kos 
    tinggi yang membabitkan 70,801 unit rumah manakala rumah kos sederhana ialah 
    14,719 unit (11.7 peratus).
 Sehubungan itu, bagi mengurang dan mengatasi masalah projek perumahan 
    terbengkalai, kementerian mengambil beberapa langkah seperti memperketatkan 
    prosedur pengeluaran lesen pemaju perumahan dengan menitikberatkan aspek 
    keupayaan kewangan.
 Langkah lain ialah melaksanakan peraturan Akauan Pemaju Perumahan 1991 yang 
    mana pemaju disyaratkan membuka akaun bagi setiap projek perumahan yang 
    dilaksanakan dan dikehendaki mengemukakan laporan setiap enam bulan.
 Beliau berkata, sekiranya pemaju gagal mengemukakan penyata kewangan, pemaju 
    terbabit akan didakwa di mahkamah.
 “Saya turut mencadangkan bayaran guaman dihapuskan kerana ada kes yang mana 
    pemaju memasukkan jumlah kos guaman dalam harga rumah kementerian akan 
    menulis surat kepada Majlis Peguam mengenai perkara itu.
 “Kementerian juga akan bekerjasama dengan Majlis Peguam bagi mengatasi 
    masalah pembeli yang tidak diberi pilihan dalam memilih panel guaman sendiri 
    apabila membeli rumah,” katanya.
 |