Lambakan rumah beri 
			peluang pilih kediaman terbaik  
			Harian Metro 22/5/2003 
			 
			KUALA LUMPUR: Lambakan hartanah di pasaran sekarang membolehkan 
			orang ramai memilih rumah terbaik. 
			 
			Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan, Chang Kim 
			Loong, berkata program Harapan Rakyat Memiliki Perumahan (Harapan) 
			yang diperkenalkan dalam pakej baru rangsangan ekonomi memberi 
			banyak kelebihan kepada pembeli. 
			 
			Menurutnya, faktor lambakan rumah di pasaran juga memberi pilihan 
			kepada pembeli mendapatkan kediaman terbaik dan sesuai melalui 
			kemudahan program Harapan. 
			 
			Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai membeli rumah sudah 
			siap dibina yang banyak di pasaran sekarang berikutan lambakan 
			hartanah yang tidak terjual selepas sembilan bulan disiapkan. 
			 
			Beliau meminta pembeli memeriksa latar belakang dan mengelak membeli 
			hartanah daripada pemaju bermasalah seperti projek terbengkalai atau 
			gagal membayar ganti rugi kepada pembeli yang lewat menerima unit 
			kediaman.Mengulas usaha mempercepatkan 
			pemberian sijil layak menduduki, Chang berkata, isu itu tidak timbul 
			jika pihak berkuasa tempatan (PBT) mematuhi peraturan untuk 
			mengeluarkannya dalam tempoh 14 hari daripada tarikh permohonan. 
			 
			"Undang-undang itu sudah diwujudkan, masalahnya banyak PBT gagal 
			melaksanakannya. 
			 
			"Mereka perlu mengikut peraturan itu, barulah masalah sijil layak 
			menduduki dapat diselesaikan," katanya. 
			 
			Sementara itu, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) 
			menyifatkan pakej rangsangan itu memberi faedah bersama kepada 
			rakyat terutama golongan berpendapatan sederhana dan pemaju 
			perumahan. 
			 
			"Ini kerana majoriti penduduk negara ini mempunyai pendapatan 
			RM60,000 hingga RM80,000 setahun yang menjadi pembeli utama rumah 
			bagi kategori berharga antara RM100,000 hingga RM180,000 yang 
			diberikan pengecualian cukai sehingga RM5,000," kata Presidennya, 
			Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip. 
			 
			Menurutnya, kemudahan kadar faedah yang lebih rendah iaitu tiga 
			peratus bagi tahun pertama atau tanpa faedah ke atas bayaran 10 
			peratus wang pendahuluan untuk pembelian rumah berharga bawah 
			RM100,000 melalui pinjaman Bank Simpanan Nasional (BSN) akan menjadi 
			faktor tarikan jualan bagi kategori rumah berharga RM100,000 ke 
			bawah. 
			 
			Beliau memuji langkah kerajaan mempercepatkan proses mendapatkan 
			kelulusan sijil layak menduduki yang dapat mengurangkan kos 
			menjalankan perniagaan seterusnya memberi manfaat kepada pembeli dan 
			pemaju. 
			"Ini adalah pakej yang sangat baik dan 
			menguntungkan kedua-dua belah pihak, pembeli dan pemaju," katanya. 
			 
			Ng yakin insentif baru dalam Pakej Strategi Baru yang turut 
			mengambil kira cadangan dan permintaan Rehda sebelum ini, akan 
			merancakkan sektor hartanah dan jualan rumah.  |