| Pembeli rumah Taman Seri 
    Bertam pindah November 24/10/2003
    Berita Harian
 MELAKA: Seramai 207 pembeli fasa pertama perumahan Taman Seri Bertam, Sungai 
    Udang, dekat sini akan menerima kunci rumah masing-masing pada 7 November 
    depan.
 Projek perumahan itu yang terbengkalai sejak 2000 siap sepenuhnya dan 
    dijadual menerima Sijil Layak Menduduki (CF) pada akhir bulan ini.
 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang, Datuk Kapt (B) Ab Karim 
    Sulaiman, berkata majlis penyerahan kunci itu akan disempurnakan Ketua 
    Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam sempena program lawatan sehari ke DUN 
    berkenaan pada 7 November depan.
 "Kerajaan negeri berterima kasih kepada pemaju,. Vision Chart Sdn Bhd 
    kerana berjaya menyiapkan projek perumahan itu mengikut jadual selepas 
    mengambil alih projek berkenaan daripada pemaju lama pada 2002.
 "Dalam tempoh sembilan bulan saja, semua projek perumahan yang terbengkalai 
    ini dapat dipulihkan selain jalan masuk ke taman berkenaan turut ditar,” 
    katanya ketika melawat perumahan itu, di sini, semalam. Turut serta, 
    Pengarah Vision Chart Sdn Bhd, Tan Tiong Sang dan pengerusi Jawatankuasa 
    Bertindak Taman Seri Bertam, Azmi Yahood.
 Fasa pertama perumahan Taman Seri Bertam mengandungi 207 unit rumah kos 
    sederhana berharga RM69,900 seunit dengan keluasan 20’ x 65’.
 Ab Karim berkata, kebanyakan penghuni taman berkenaan adalah anggota tentera 
    dan kalangan mereka sudah bersara.
 Sementara itu, Tan berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada 
    pihak berkaitan untuk membolehkan CF , dapat dikeluarkan selewat-lewatnya 
    akhir bulan ini.
 "Setakat ini tujuh agensi kerajaan dan swasta telah memberi kelulusan dan 
    kita masih menunggu ujian terakhir daripada lndah Water Konsortium (IWK).
 "Selepas ujian terakhir itu selesai, CF dijangka dapat dikeluar oleh Majlis 
    Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan kunci akan diserahkan kepada , 
    pembeli pada tarikh yang ditetapkan," katanya.
 Sehubungan itu, Tan berkata, pembeli dinasihatkan memeriksa rumah 
    masing-masing dan memaklumkan kepada kontraktor jika terdapat sebarang 
    kerosakkan supaya ia boleh diperbaiki.
 Katanya, pembeli yang tinggal di luar Melaka boleh menghubungi pejabatnya 
    melalui talian 063123901/3123976 untuk mendapatkan keterangan lanjut.
 |