| 60 pembeli 
    rumah kecewa Harian Metro 09/07/2002
 
 KUALA LUMPUR: Kira-kira 60 pembeli rumah Newgate Avenue di USJ 21, dekat 
    sini, berasa tertipu berikutan projek itu terbengkalai sedangkan mereka 
    terpaksa melunaskan faedah bulanan pinjaman bank.
 Disebabkan terlalu kecewa dan kesal dengan sikap pemaju projek terbabit, 
    mereka membuat laporan kepada Persatuan Pengguna Subang & Shah Alam (Cassa), 
    Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan, Majlis Peguam, Kementerian Perumahan 
    dan Kerajaan Tempatan, Badan Arkitek dan Bank Negara.
 Seorang suri rumah yang dikenali sebagai Lee, 31, berkata dia sudah bosan 
    dengan janji kosong pihak pemaju sejak beberapa bulan selepas projek itu 
    dilancarkan pada 1999.
 "Kami sedih dengan apa yang berlaku ini. Pemaju mempunyai banyak pihak yang 
    bersedia memberi pertolongan, termasuk ahli politik tempatan, tetapi 
    kepentingan kami siapa yang boleh memberi perlindungan melainkan Cassa," 
    kata seorang pesara kerajaan, yang mahu dikenali sebagai Francis, 58.
 Projek pangsapuri 33 tingkat itu dijual kepada orang ramai pada harga 
    sekurang-kurangnya RM66,800 dengan janji manis kononnya kediaman yang bakal 
    dibangunkan itu menyediakan suasana ekslusif dan mewah.
 Pembeli terbabit mahukan wang mereka dikembalikan, termasuk bayaran faedah 
    yang dibayar.
 Sehubungan itu, Presiden/Penasihat Perundangan Cassa, Datuk Dr Jacob George, 
    berkata pihaknya menghubungi Kementerian Perumahan dan Kerajaan supaya 
    menubuhkan satu jawatankuasa khas menyiasat kes itu bagi memastikan pembeli 
    tidak menanggung kerugian dan teraniaya.
 "Kementerian perlu mengambil tindakan segera termasuk menggantungkan 
    sementera kelulusan pembinaan apartmen sehingga kebajikan pembeli dilindungi 
    dari segi undang-undang untuk mengelakkan mereka teraniaya," katanya.
 |